Berita Utama

Berubahlah kalau tak mahu ‘rebah’ PRN nanti

Selagi bergelar pemimpin, selagi itu jadi perhatian dan bahan kritikan

BANGI, 14 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Golongan negarawan perlu bersedia untuk menjadi bahan bualan masyarakat sekiranya mahu negara bergerak ke hadapan.

Atas sebab itu, sikap mudah melatah sesetengah pemimpin yang sering menggunakan saman untuk menutup mulut pihak lain perlu diubah, kata Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

“Kita kena ingat, apabila kita bertaraf pemimpin negara, apa jua nama sama ada Perdana Menteri atau menteri, sudah tentu menjadi bahan bualan khalayak, kalau nak ikut saman, habis semua orang kita saman.

“Persoalannya, kita mahu saman atau tidak? Atau kita mahu saman semua orang yang berkata tentang kita.

“Sebagai negarawan, kita kena terima hakikat ini,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana pihak.

Pada masa sama, beliau berkata, kritikan daripada masyarakat sudah menjadi lumrah bagi individu yang bergelar pemimpin.

“Jangan asyik fikir pasal nak jawab semua kritikan orang.

“Percayalah, selagi kamu bergelar pemimpin, bergelar PM, bergelar menteri, selagi itulah kamu akan terus menjadi perhatian dan bahan kritikan.

“Jika kamu bijak, kamu tidak pedulikan sangat kritikan atau fitnah itu, teruskan buat kerja yang telah diamanahkan. Demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya sikap ini tidak diubah, maka rakyat akan hilang kepercayaan kepada pemimpin.

“Percayalah, jika kamu masih tidak berubah, Pilihan Raya Negeri yang akan datang, pasti kamu akan rebah, ketika itu, sudah tidak ada pilihan, kamu terpaksa meletak jawatan, kerana rakyat sudah tidak percaya kepada kamu.

“Bila kepercayaan itu sudah hilang, buat apapun tidak berguna. Bertaubatlah wahai negarawanku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button