Berita Utama

Pemilihan parti peluang UMNO humban jauh parasit: Penganalisis

Akar umbi perlu siap sedia jika ada langkah diambil luar daripada kebiasaan

BANGI, 23 Syaaban 1442H, Isnin – Penganalisis politik, Shahbudin Embun berpandangan, pemilihan UMNO wajar diadakan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Di situ nanti semua parasit parti akan dihumbankan jauh oleh akar umbi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, selepas daripada itu, UMNO perlu merangka strategi kerana sesuatu pemikiran di luar kotak dan lain daripada kebiasaan sangat diperlukan.

“Politik negara berubah dengan situasi terkini. Demi survival UMNO, rancanglah sesuatu yang menguntungkan parti tanpa meninggalkan prinsip perjuangan.

“Sekiranya langkah yang akan diambil luar daripada kebiasaan, harap akar umbi memahami. Kita sekarang berada dalam norma baru politik negara,” katanya.

Pun begitu, Shahbudin berkata, mengadakan persidangan untuk lebih 23,000 cawangan bukan sesuatu yang mudah di musim pandemik dan darurat ini.

“Presiden dan kepimpinan tertinggi tahu apa yang harus dilakukan. Diharap akar umbi memahami,” katanya lagi.

Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengulangi pendirian agar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO segera mengadakan pemilihan parti dan tidak menunggu sehingga akhir tahun.

Beliau menggesa pemilihan parti diadakan segera bagi mengatasi ‘masalah dalaman’ sebelum PRU15.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpuan Agung UMNO (PAU) 2020 minggu lalu memutuskan untuk ‘bergerak secara solo’ dan bertanding di bawah lambang Barisan Nasional (BN) dalam PRU15.

Ia bagaimanapun mahu hubungannya dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dikekalkan.

Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan pada tahun lalu, bagaimanapun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button