Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaGambar PilihanIstimewaUtama

Etnik Uyghur bimbang COVID-19 merebak di kem tahanan

China didesak tutup kem, WHO pula digesa hantar delegasi ke Xinjiang

XINJIANG, 20 Jamadilakhir 1441H, Jumaat – Etnik minoriti Uyghur di kem-kem tahanan China meluahkan kebimbangan sekiranya mereka dijangkiti wabak coronavirus atau COVID-19.

Setakat ini, media negara Tanah Besar itu tidak mengeluarkan angka rasmi etnik Islam Uyghur yang telah berjangkit dengan wabak berkenaan.

Wakil-wakil komuniti Uyghur menegaskan, mereka mempunyai alasan tersendiri untuk berasa bimbang terhadap jangkitan COVID-19, yang kini semakin kritikal.

“Orang ramai mulai panik. Keluarga kita yang berada di sana berhadapan dengan keadaan kem tahanan yang tidak selesa. Tambahan pula kewujudan wabak ini semakin menular dan membimbangkan.

“Kita tidak tahu sama ada mereka mempunyai cukup makanan dan topeng muka,” kata ahli sosiologi Uyghur yang berada di Perancis, Dilnur Reyhan.

Sementara itu, terdapat petisyen Change.org yang mendesak penutupan kem-kem tahanan untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak COVID-19.

Petisyen berkenaan yang telah ditandatangani oleh lebih dari 3,000 orang itu menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak perlu menunggu sehingga ratusan kematian untuk memulakan tindakan.

“Memandangkan China terus berjuang untuk mengawal virus di Wuhan, kita dengan mudah boleh menganggap virus itu akan merebak dengan cepat di seluruh kem tahanan dan lebih ramai etnik Uyghur akan terkesan sekiranya tiada tindakan diambil sekarang,” tegasnya.

Selain itu, terdapat juga kempen hashtag di media sosial seperti #VirusThreatInThecamps dan # WHO2Urumqi sebagai langkah menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar delegasi ke bandar Xinjiang.

Pada masa sama, pihak berkuasa China tidak memberi sebarang respon ketika ditanya pemberita mengenai langkah-langkah diambil bagi mencegah virus di kem tahanan.

Pada masa sama, Kongres Uyghur Sedunia (WUC) melaporkan bahawa sekiranya tiada sebarang tindakan diambil bagi mencegah COVID-19, ia akan dapat merebak dengan cepat di wilayah Xinjiang.

Presidennya Dolkun Isa berkata, etnik Uyghur di kem-kem tahanan berisiko tinggi terdedah dengan penyakit itu, sambil menyifatkan mereka berada dalam keadaan lemah akibat ditindas rejim komunis China.

Terdahulu, agensi berita Sputnik melaporkan, jumlah mereka yang dijangkiti wabak penyakit COVID-19 di seluruh China meningkat kepada 63,851 orang dengan 1,380 pesakit meninggal dunia.

“Sehingga tengah malam 13 Februari, Suruhanjaya Kesihatan menerima maklumat mengenai 63,851 kes penyakit radang paru-paru berpunca daripada koronavirus jenis baharu di 31 wilayah, termasuk 55,748 orang kini menghidap penyakit itu.

“Seramai 10,204 orang berada dalam keadaan kritikal, 1,380 meninggal dunia dan 6,723 dibenar keluar hospital,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.
-Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close