Berita UtamaUtama

COVID-19: 250 aduan diterima berkaitan penutup hidung, mulut

20 aduan lagi mengenai cecair pembasmi kuman pada tangan

KUCHING, 20 Jamadilakhir 1441H, Jumaat – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 250 aduan salah laku berkaitan penutup hidung dan mulut, susulan penularan jangkitan COVID-19.

Timbalan menterinya Chong Chieng Jen berkata, sehingga semalam, aduan yang diterima merangkumi harga mahal sebanyak 181 aduan; kurang atau tiada bekalan (lapan); tidak menerima barang yang ditempah (tujuh); harga mengelirukan (empat); barang tiruan (dua); barang yang diterima tidak seperti yang ditawarkan (dua) dan kualiti produk (satu).

“Selain itu, barangan yang turut terkesan daripada penularan jangkitan itu adalah harga cecair pembasmi kuman pada tangan (hand sanitizer), di mana kementerian menerima sebanyak 20 aduan berkaitan barangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ekspo Konsumer-Kerajaan di sini hari ini.

Mengulas mengenai aduan-aduan lain yang diterima KPDNHEP, Chong berkata, antara yang sering dilaporkan oleh rakyat adalah berkaitan harga barangan, penandaan tanda harga, transaksi atas talian serta aduan mengenai perkhidmatan mengelirukan.

“Bagi 2019, kementerian menerima 21,935 aduan, iaitu penurunan sebanyak 15.9 peratus berbanding 26,086 aduan pada 2018.

“Tiga kategori (aduan) tertinggi bagi 2019 ialah berkaitan harga iaitu sebanyak 6,076 aduan, diikuti aduan berkaitan transaksi atas talian (5,415) dan perkhidmatan mengelirukan sebanyak 3,566 aduan,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP telah menyediakan sembilan saluran, bagi memudahkan rakyat untuk mengemukakan aduan kepada kementerian.

“Bagi 2019, saluran paling popular dalam kalangan rakyat adalah penyaluran aduan melalui Portal e-Aduan iaitu 46.1 peratus diikuti aplikasi telefon pintar Ez ADU (25.9 peratus) dan yang ketiga adalah menerusi aplikasi WhatsApp (13 peratus),” tambahnya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close