Berita UtamaIstimewaUtama

Anak tak sah taraf boleh di bin, binti dengan Asmaul Husna

Elak anak lahir luar ikatan perkahwinan rasa teraniaya, tanggung aib

BANGI, 20 Jamadilakhir 1441H, Jumaat – Selain guna nama Abdullah, anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf boleh di bin atau binti dengan 99 nama Allah atau Asmaul Husna bagi mengelakkan mereka berasa teraniaya.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, langkah itu bagi menghindari anak tidak sah taraf menanggung aib pada masa hadapan jika mereka hanya dibenarkan di bin atau binti dengan nama Abdullah sahaja.

“Di Johor, kita memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, boleh dinamakan (di bin atau binti) dengan 99 nama Allah atau Asmaul Husna, selain nama Abdullah, menjadikan 100 nama bin atau binti untuk dipilih,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dalam pada itu, Yahya berkata, Johor amat mengalu-alukan langkah Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya.

“Alhamdulillah, Johor sudah mewartakan fatwa anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh bin atau binti bapa biologinya sejak 21 Mei 2018 lagi.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri juga sudah menitahkan supaya fatwa yang dibuat dahulu tidak sehingga menzalimi anak tidak sah taraf sekali gus mengaibkan mereka pada masa hadapan,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-3, memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemukakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa, sebaliknya perlu ‘di bin atau binti Abdullah.’

Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu dilaporkan berkata, Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.

Beliau berkata, Seksyen 13A tidak diguna pakai dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak-anak di bin atau binti dengan nama peribadi orang yang diketahui adalah bapa kepada anak itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close