Berita UtamaTarbiyyahUtama

Pemuda Syurga

Usia muda zaman penuh dengan keazaman, tenaga dan kesungguhan

SEMUA orang ingin masuk syurga. Dan semua orang yang masuk syurga akan jadi muda. Ini adalah janji Allah yang pasti. Namun persoalannya, apakah prasyarat untuk mencapai cita-cita mulia ini?

Apakah ciri yang perlu ditanam dalam diri para pemuda dan pemudi hari ini bagi mempersiapkan mereka menjadi pemuda syurga yang diidamkan di akhirat kelak?
Bagaimana mereka perlu menempuh segala cabaran dan dugaan yang menimpa dunia hari ini dan terus kukuh menggenggam amanah agama yang diberikan?

Buku ini menyediakan jawapan bagi persoalan-persoalan di atas.
Ya, kita harus memulakan langkah dengan hasil akhir terpasak kemas dalam minda, untuk menjadi Pemuda Syurga! Kenapa Pemuda? Kenalkah anda dengan seorang pemuda di sahabat Rasulullah ﷺ yang dianugerahkan sepasang sayap di syurga nanti?

Beliau digelar ‘Burung Syurga’

Beliau ialah Ja’afar bin Abi Talib, panglima perang Mu’tah yang gagah berani berperang bak seekor singa lapar yang baru dilepaskan dari sangkarnya. Bukan kekuatan 250,000 orang tentera Rom yang terlihat di depan matanya, tapi keayuan bidadari syurga di sebalik lautan tentera musuh.

Beliau mengamuk, merempuh pertahanan musuh dengan panji Islam kejap dalam genggaman tangan kanannya. Ketika tangan kanannya dicantas musuh sehingga terputus, beliau pantas menyambut panji Islam dengan tangan kirinya. Tidak lama kemudian, tangan kirinya pula disebat pedang musuh sehingga terputus.

Subhanallah, tidak rela panji Islam jatuh menyembah bumi, Ja’afar bin Abi Talib lantas memeluk panji Islam pada dadanya menggunakan bahagian tangan yang tersisa. Beliau terus mara ke hadapan sehinggalah libasan pedang tentera Rom yang seterusnya mengenai batang tubuhnya dan terus mencabut nyawanya.

Ketika perang tamat, jenazah suci beliau ditemui dengan lebih 70 lubang tusukan pedang, tombak dan anak panah yang semuanya berada di bahagian depan badan beliau.

Berbaloikah pegorbanan beliau?

Syahidnya Ja’afar Bin Abi Tali disambut dengan kata-kata Rasulullah ﷺ, “Sungguh, aku melihat Ja’afar berada di syurga. Dia mempunyai dua sayap berlumuran darah dan bertanda di kakinya.”

Demikianlah kisah seorang pemuda yang hidup untuk mati. Berjihad di medan pertempuran bukan untuk pulang semula bersama ahli keluarga, tapi untuk meminang bidadari syurga. Bersungguh membuktikan cita dunia hanya untuk mendamba cinta Pencipta.

Beliau dan ratusan generasi anak muda pada zaman Rasulullah ﷺ telah membuktikan generasi pemuda adalah tonggak kepada kebangkitan Islam. Malah peranan dan sumbangan anak-anak muda berterusan sepanjang masa sehingga ke akhir zaman.

Persoalannya, kenapa pemuda?

1. Kuantiti

Statistik yang dikeluarkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan sehingga Julai 2015, jumlah penduduk dunia berjumlah 7.3 billion. Daripada jumlah tersebut, 2.8 billion atau 38 peratus adalah belia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun.

Manakala di Malaysia pula statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 12 juta daripada 30 juta penduduk dunia adalah belia berusia 15 hingga 40 tahun. Ini mewakili 40 peratus daripada keseluruhan penduduk negara kita.

2. Demografi

Generasi muda menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, industri atau badan-badan masyarakat.

3. Kualiti

Usia muda ialah zaman yang penuh dengan keazaman, tenaga dan kesungguhan.

Usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional.

Sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud:

“Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk.’

Umat manusia, dalam tabiat kejadian dan pembentukannya mempunyai masa terhad dalam usia yang mampu memberi sesuatu. Kemudian ia mula surut kebelakang (susut). Firman Allah (3:140)

“Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu kami pergilirkan di antara manusia.”

Dan benarlah sabda Rasulullah ﷺ:

“Bahawa setiap amalan itu ada puncak kesungguhan-nya, setiap puncak kesungguhan itu ada surutnya. Maka sesiapa yang surutnya adalah pada sunnahku, maka di telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang surut kepada yang lain, bererti telah binasalah dia.”

Dari sini penekanan adalah untuk mendapatkan faedah dari usia muda dan dari para pemuda dalam menunaikan tugas berat dan melintasi halangan-halangan serta menyahut cabaran yang diperlukan dan dituntut oleh perubahan tamadun.

Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya Generasi Pemuda dan Perubahan mengungkapkan realiti pedih yang sedang melanda golongan muda hari ini dengan keras:
Pemuda yang tiada peribadi,bersikap seperti kera,
Pemuda yang tiada mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang,
Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan,
Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka,
Alangkah benarnya apa yang beliau coretkan…..

Bagaimana Pula Dengan Orang-Orang Tua

Apabila kita menyanjung orang muda, bukanlah bererti orang tua tiada gunanya. Hakikatnya, tanpa orang tua tidak akan lahir generasi muda yang kita puja-puja bagai tiada langit dunia.

Siapa yang mendidik, mengajar dan memberikan panduan?

Siapa yang menegur dan melontar amaran?

Siapa yang membendung gelojak semangat dengan kewarasan?

Siapa yang menerangi jalan dengan lentera pengalaman?

Jawapannya cuma satu.

Orang tua!

Bukankah Islam juga mengajar kita begitu?

Orang tua harus dihormati. Mereka telah banyak berbakti. Mereka telah lama menabur budi. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan mereka ada kuasa ‘sakti’ yang tersendiri. Namun pada pandangan Allah, muda atau tua tiada bezannya. Kaya atau miskin bukanlah neraca. Cantik atau hodoh tidak menentukan mulia. Malah, semuanya bergantung kepada taqwa!

Setiap generasi akan diganjarkan berdasarkan keikhlasan dan kesungguhan menegakkan kalimah suci Ilahi. Setip generasi ada misi dan visi, strategi dan aktiviti.

Kita semua sama. Bukankah kita semua akan jadi muda bila menjejak syurga Ilahi?

Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Kluster Tarbiah ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close