Berita UtamaPendapatUtama

Bila Melayu, mualaf terlebih Cina

Acara kecinaan disifatkan harmoni, jika kemelayuan pula dinilai rasis

BILA tahun baharu Cina disambut dengan penuh kecinaan, dimana jati diri identiti negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan?

Perlu diingat, ini bukan negara China, tetapi Malaysia yang ada asal-usul dan sejarah bangsanya.

Bila Cina Muslim dan pemimpin Melayu menjadi lebih Cina daripada Cina.

Jahilnya kita memahami erti perpaduan dengan menyambut Tahun Baharu Cina dengan penuh kecinaan. Di mana identiti negara dalam hal ini?

Saya begitu tertarik dengan majlis rumah terbuka menyambut perayaan Tahun Baru Cina yang berlangsung pada malam Chap Goh Mei, maknanya, malam ke 15 Tahun Baharu Cina (CNY).

Menurut penganjur, yang turut membabitkan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), sambutan CNY, katanya bagi tujuan memupuk perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia.

Sayang sungguh MACMA yang telah kami tubuh sekian lama, kemudian kami tinggalkan kepada pewaris yang lain, mereka kini telah menjadi lebih Cina daripada Cina.

Pada mereka, dengan menganjurkan majlis terlebih Cina ini, maka inilah dakwah.

Dengan sambutan penuh kecinaan ini dapat mengelak salah saham Melayu itu Islam, Islam itu Melayu.

Majlis yang dianjurkan oleh orang Cinapun tidak secina ini.

Tiba-tiba bila menjadi Cina Muslim yang sambut, mereka menjadi lebih Cina daripada Cina. Sayang sekali MACMA, mereka memahami Islam dengan Mencinakan Islam, bukannya mengIslamkan Cina.

Pernah satu ketika, ketika sambutan perayaan Tanglung, Cina Muslim ini jugalah yang membawa Tanglung mengelilingi taman.

Sedangkan Cina yang menyambut perayaan tanglung pun tidak secina sambutan Cina Muslim. Cina yang Cina pun tidak membawa tanglung mengelilingi taman. Begitu lah overnya Cina Muslim dengan perayaan kecinaannya.

Peliknya sambutan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban, tidak pula mereka menyambutnya dengan besar-besaran.

Sedangkan inilah perayaan yang disebut dalam al-Quran yang disambut oleh semua bangsa tanpa mengira warna kulit, yang beragama Islam.

Kenapa Cina Muslim begitu beriya-iya menyambut perayaan bangsa, tetapi tidak dalam perayaan agama? Mana lebih penting antara bangsa dan agama?

Menurut penganjur lagi, majlis tersebut diadakan untuk mempromosikan keindahan masyarakat berbilang kaum dan agama, serta memadamkan persepsi bahawa seseorang itu akan menjadi Melayu jika mereka masuk Islam.

Tujuan program adalah untuk memperkenalkan konsep keindahan bermasyarakat yang hidup berbilang bangsa dan agama dalam persekitaran harmoni.

Selain itu, ia juga bertujuan menunjukkan bahawa mana-mana adat sesuatu bangsa yang tidak bercanggah dengan syariat boleh diterima dalam Islam.

Ini menggambarkan Islam tidak membenci atau memusuhi bukan Islam, sekaligus menyangkal salah faham dan dakwaan bahawa Islam agama yang menganjurkan keganasan.

Program yang menyaksikan kehadiran kira-kira 300 orang ramai berbilang kaum, dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan seperti orkestra Cina, tarian singa, pameran fesyen Cina kanak-kanak dan tarian topeng Sichuan.

Terdapat juga banyak makanan Cina Muslim yang disediakan termasuk ‘yee sang gergasi’ sepanjang lebih dari dua meter.

Sekumpulan tetamu yang hadir, berkumpul untuk sesi menggaul yee sang.

Pada masa sama, penari singa dan penari topeng Sichuan dengan pertunjukan wajah berubah-ubah mengelilingi dewan bergerak ke setiap meja melakukan persembahan mereka.

Apakah tidak cukup dengan hiasan lampu tanglung menutupi seluruh bandar Kuala Lumpur? Pertunjukkan tarian singa sehingga membingitkan Kuala Lumpur.

Bunga api dan mercun menjadikan Kuala Lumpur berdentum, terang benderan. Begitu juga juga siaran radio dan televisyen seperti siaran di Hong Kong.

Pernahkah televisyen dan radio tempatan Cina atau India memberikan promosi Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban?

Hebat Malaysia, tiba musim perayaan bangsa dan agama tertentu, seolah-olah berada di Hong Kong, Mumbai, Tamil Nadu, New York dan lain-lain.

Pernahkah orang Melayu protes? Begitu juga dengan tanglung gergaji yang dibawa oleh lapan menteri di salah sebuah sekolah menengah di Puchong.

Pendek kata, orang Melayu dan orang Islam begitu menghargai dan memahami Rahmatan lil alamin dengan meraikan kepelbagaian ini. Bangsa lain macam mana?

Ketika sambutan CNY, semua Cina Muslim dan pemimpin Melayu memakai pakaian Cina dengan warna merah menyala.

Pernahkah kita nampak orang bukan Melayu memakai baju Melayu dan bersongkok ketika sambutan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban? Tidak salah, tapi ada sesuatu tidak kena di situ dari segi memahami rahmatan lil alamin.

Rahmatan lil alamin hanya pada sebelah pihak iaitu kita. Tetapi ultra kiasu bagaimana?

Jahil sungguh kita memahami maksud perpaduan. Perpaduan dicapai dengan mencinakan keseluruhan majlis sehingga tidak ada satu pun identiti nasional. Tenggelam habis identiti negara.

Bila umat Islam buat semua pertunjukkan penuh kecinaan, itu adalah majlis muhibbah dan harmoni. Bila Melayu melakukan majlis yang sama penuh kemelayuan, itu adalah rasis.

Tahun ini, sempena CNY, saya menziarahi saudara mara sebelah arwah ibu bapa saya di Perak, sambil membawa keropok lekor dan buah limau, sebagai buah tangan.

Suasana begitu mesra. Perpaduan tetap terjalin dengan mesra walaupun tidak ada okestra Cina, tarian singa, fesyen Cina, topeng Sichuan, yee sang dan lain-lain.

Bila majlis Cina dipenuhi dengan makanan dan budaya Cina. Bila masanya mereka mahu mengenali makanan dan adat budaya nasional (Melayu dan bumiputera).

Salahkah jika majlis CNY turut diserikan dengan makanan Melayu dan budaya Melayu? Tidak ketinggalan diselang selikan dengan makanan dan budaya Cina?

Saya fikir, orang Islam telah lama memahami konsep rahmatan lil alamin.

Contohnya, bila kita mahu menyambut sesuatu program atau acara, kita selalu mengambil berat dan berbincangkan selain daripada pertunjukkan budaya dan makanan Melayu, identiti dan makanan kaum lain termasuk yang vegetarian, turut dihidangkan, bagi meraikan bangsa lain.

Kita suruh orang Islam memahami rahmatan lil alamin. Orang bukan Islam atau bukan Melayu pula, macam mana pemahaman mereka tentang rahmatan lil alamin? Kita selalu memikirkan orang lain? Orang lain memikir tak untuk kita?

Saya jarang melihat program bangsa lain, menyambut perayaan mereka, mereka turut memikirkan soal makanan bangsa lain, dan pertunjukkan bangsa lain, terutama membabitkan jati diri dan identiti negara. Tetapi bila kita buat program, kita selalu memikirkan bangsa dan agama lain.

Kepada pihak penganjur, banyak lagi perayaan mendatang yang membabitkan orang Cina nanti, seperti tanglung, kuih bulan, hari Wesak dan lain-lain.

Lagi pun Buddha, Toaism, Konfucianism bukan agama tetapi hanya ajaran atau kepercayaan. Maknanya boleh disambut. Jangan lupa buat sambutan tersebut dengan penuh kecinaan agar orang Cina nampak rahmatan lil alamin dengan jelas, sejelas-jelasnya sehingga mereka memeluk Islam.

https://www.malaysiakini.com/news/510167

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close