Berita UtamaDunia

Rakyat bantah cara tangani COVID-19, Presiden Paraguay didesak letak jawatan

Abdo Benitez minta semua menteri Kabinet lepaskan jawatan

ASUNCION, 23 Rejab 1442H, Ahad – Presiden Paraguay, Mario Abdo Benitez menggesa semua menteri Kabinet meletakkan jawatan selepas mendapat bantahan rakyat yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani krisis pandemik COVID-19. 

Reuters melaporkan, rakyat Paraguay membantah dasar kesihatan dan kekurangan vaksin COVID-19 di Asuncion.

Tunjuk perasaan bagi membantah perkara itu bagaimanapun dicalari dengan pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis di pusat ibu kota, Asuncion.  

Penunjuk perasaan dilapor melemparkan batu ke arah petugas polis, manakala petugas menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata.

Penunjuk perasaan membantah di luar bangunan Kongres, yang juga menuntut peletakan jawatan Abdo Benitez.

Menteri Komunikasi, Juan Manuel Brunetti memberitahu, presiden meminta ‘semua anggota Kabinet melepaskan jawatan mereka’.

“Abdo Benitez menghormati tunjuk perasaan secara aman dan menyeru keamanan. Presiden… pasti bercakap hari ini dengan rakyat.  Dia (akan) mengumumkan perubahan,” katanya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Amerika (IACHR) pada hari Sabtu menyatakan kebimbangan berhubung dakwaan polis menggunakan kekerasan berlebihan terhadap orang ramai ketika tunjuk perasaan, sambil meminta pihak berkuasa untuk menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia.

Demonstrasi itu berlaku di tengah-tengah kemarahan yang semakin meningkat terhadap wabak COVID-19 di Paraguay, di mana jangkitan melonjak dan hospital di ambang kehancuran. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button