Berita PilihanBerita UtamaIstimewaUtama

Pemandu mabuk: Jadikan `dosa besar’ bagi JPJ, PDRM

Bila negara penduduk majoriti Islam, ramai fikir ia bukan masalah `kita'

BANGI, 16 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Sudah tiba masanya pihak berwajib menjadikan kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol sebagai satu dosa atau kesalahan besar.

Pakar jalan raya, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, hakikat yang perlu diterima sekarang adalah masalah pemandu mabuk merupakan gejala serius yang dialami oleh seluruh negara di dunia.

Beliau berkata, cuma sebelum ini, oleh kerana Malaysia majoriti penduduknya adalah umat Islam, ramai mengandaikan masalah pemanduan dalam keadaan mabuk bukan masalah `kita’.

Oleh itu, katanya, semua pihak berwajip dengan keselamatan jalan raya tidak meletakkan masalah itu sebagai kritikal dan data juga tak menunjukkan ia merupakan satu permasalahan besar.

“Tetapi bagi saya, ini adalah masalah yang terlindung, seperti sebelum ini masalah keselamatan motorsikal yang juga tidak diberi prioriti dalam perhatian semua pihak.

“Sekarang kita tahu masalah pemanduan di bawah pengaruh alkohol sudah semakin serius tetapi saya yakin masalah ini sebenarnya lebih besar.

“Saya mencadangkan supaya pemanduan di bawah pengaruh risiko dijadikan kesalahan besar atau `big sin’ oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Kemalangan melibatkan pemandu mabuk semakin menjadi-jadi di negara ini dan boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja kes yang berlaku.

Terbaharu, seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda yang disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Batu 10 Jalan Apas, dekat Tawau.

Mangsa, Yusuf Hussin, 42, seorang pekerja kontrak meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya Radjuddin Jamaluddin, 35, cedera di badan dan kepala.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan menegaskan, melalui cara itu, statistik akan menggambarkan keadaan sebenar dan strategi penguatkuasaan juga dapat dipertingkatkan.

Selain itu, beliau mencadangkan, penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam semakan pemandu melibatkan kandungan alkohol sama ada ketika mabuk atau tidak.

“Kita perlu mula buat advokasi dengan lebih terbuka supaya semua menganggap ini masalah kritikal.

“Selepas itu, kita boleh juga libatkan pengusaha minuman keras, kelab dan sebagainya supaya memainkan peranan membendung gejala ini sama seperti di negara-negara Barat,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close