Berita UtamaIstimewaUtama

Kerajaan baru: Petanda Tun M takkan serah kuasa pada Anwar?

Tuduhan Lokman berat, Zahid dan Hishamuddin patut beri penjelasan

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 12 Jamadilakhir 1441H, Khamis – Pembentukan kerajaan baharu yang lebih cekap dan berwibawa wajib disegerakan sekiranya kerajaan dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan mereka tidak mampu memberikan prestasi yang ‘baik’ kepada rakyat.

Perkara itu diutarakan Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi susulan dakwaan mengatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan kemungkinan bekerjasama dengan Tun Mahathir, sekali gus membentuk kerajaan campuran baru bersama-sama Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Perkara itu didedahkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebelum ini, kononnya kerjasama politik baru akan dilancarkan masa terdekat sama ada pada 10, 11, atau 12 Februari ini dengan nama Pakatan Nasional.

Mengulas perkara itu, Abdul Muein berkata, hakikatnya, desas-desus usaha pembentukan kerjasama politik baru bertiup kencang sejak sekian lama; Datuk Seri Anwar Ibrahim bahkan pernah secara terbuka menegur Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, pemimpin UMNO yang dikatakan pencatur utama gerakan bersama-sama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah, katanya, sebelum Lokman mendedahkan rakaman kenyataan Zahid, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terlebih dahulu memberikan bayangan betapa agenda tersebut sedang dipertimbangkan secara serius.

Bagaimanapun, Lokman mengkritik keras kesediaan Zahid untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir.

“Beliau mendakwa Ahmad Zahid ‘terpaksa’ menerima cadangan kerjasama UMNO dengan Bersatu bagi menyelamatkan dirinya daripada 87 pertuduhan di mahkamah ketika ini, dibantu pula Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang didakwa beliau ‘makan gaji dengan Hishammuddin’.

“Tuduhan Lokman itu cukup berat dan tentulah Ahmad Zahid dan Hishammuddin perlu memberi penjelasan segera,” katanya menulis di Kolumnis Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Muein berkata, ada tiga hakikat utama yang perlu diakui susulan pendedahan Lokman, di mana Dr Mahathir benar-benar dalam proses untuk tidak menyerahkan kuasa kepada Anwar.

“Selain itu, Dr Mahathir kurang yakin dengan kemampuan Kabinet PH hingga sedia bekerjasama dengan UMNO (kecuali Datuk Seri Najib Razak) dan PAS.

“Antara lain, Dr Mahathir kurang yakin dengan kekuatan Bersatu untuk memenangi pilihan raya umum jika tidak, tentu beliau memilih mengusulkan pembubaran Parlimen dan bukannya tawarkan kerjasama dengan UMNO.

“Apa yang penting, setiap pemimpin politik wajib menyedari amanah kekuasaan terletak pada prestasi mereka memperbaiki kualiti hidup rakyat,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close