Berita PilihanBerita UtamaTarbiyyahUtama

Erti kesepaduan dalam pandangan muslim sedunia

Islam pilih kemajuan tanpa pegangan atau kemunduran beragama

KONSEP At-Tauhid (Penyatuan) yang diamalkan oleh Islam bukan semata-mata membuktikan Islam menolak polytheisme, tetapi konsep ini merentasi segenap aspek hidup muslim, dari aspek duniawi dan ukhrawi secara umumnya.

At-Tauhid menyatukan ‘worldview’ muslim tentang agama dan negara, dunia dan akhirat, fizik dan metafizik dalam satu pandangan yang sama.

Tiada pemisahan dalam proses menegakkan agama serta proses membangunkan negara, begitu juga tiada beza dalam amal untuk memakmurkan dunia dan mencari kebahagiaan di akhirat.

Dunia adalah jambatan kepada akhirat.

Apabila wujud pemisahan dan perbezaan ini, akan muncul golongan yang bekerja untuk dunia sehingga mencarik lunas-lunas adab dan akhlak.

Yang penting hanyalah keuntungan material dan tujuan kerja tercapai, seperti falsafah Machiavellianism yang dipelopori oleh Niccolo Machiavelli.

Begitu juga akan wujud golongan yang hanya duduk beruzlah di masjid, dan pusat ibadah semata-mata, serta meninggalkan dunia untuk diurus tadbir oleh Taghut yang mengingkari hakimiah Allah SWT.

Bagi mereka, dunia ini tidak boleh diambil manfaatnya walau sedikitpun.

Inilah najis dualisme dan sekularisme yang mewarnai pemikiran kebanyakan muslim hari ini, secara sedar atau tidak.

Sedangkan Islam pula mengamalkan konsep Tauhid, yang menggabungkan antara “apa yang tumbuh di bumi” (baca; akal) dan “apa yang turun dari langit” (baca; wahyu).

Tiada dikotomi agama-negara, dunia-akhirat. Semuanya bejalan dengan landasan dan nada yang sama, dengan syarat diniatkan kerana Allah dan mengikut SyariatNya.

Allah Ta’ala berfirman dalam surah Al-Qasas ayat 77;

‎وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الآخِرَةَ وَلا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الأرْضِ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri Akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.

Renaissance dan Reformation di Barat menjadikan sebahagian masyarakat dunia Islam bercelaru.

Kita seolah-olah dipaksa untuk memilih antara dua, samada kemajuan tanpa agama atau kemunduran beragama.

Sedangkan sejarah dan realiti tidak menjanjikan keadaan sedemikian. Kita terlalu cepat menghukum tanpa memahami terlebih dahulu erti kemajuan dan agama yang dimaksudkan.

Akhirnya kita skeptik kepada agama, lalu mengorbankannya demi janji-janji kemajuan yang palsu.

Baghdad, Granada, Andalus, dan Istanbul adalah beberapa contoh kemajuan yang didasari agama. Agama yang benar tidak pernah menolak kemajuan dan kesejahteraan yang hakiki.

Ustaz Ammar Ismat
Penyelidik IRIS Institute

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close