Berita UtamaUtama

Syiah beriman bahawa imam mereka bersifat ketuhanan

Perlu dikekang kerana bahayakan kesucian ajaran Islam

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 4 Jamadilalkhir 1441H, Rabu – Pihak polis serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu bekerjasama secara bersepadu bagi membanteras kegiatan mengembangkan ajaran sesat Syiah di negara ini.

Bimbang dengan laporan bahawa gerakan Syiah di Selangor semakin meluas dan serius, Ketua Unit Kajian Syiah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Mohamad Ismail menegaskan, hanya kesatuan dan kerjasama erat antara kerajaan dengan rakyat dapat memelihara keselamatan serta keharmonian negara.

Beliau berkata, ajaran Syiah yang amat berbahaya terhadap kesucian serta kesahihan ajaran Islam dan hanya dapat dikekang dengan kesatuan umat yang menjaga akidah sebenar Islam.

“Pengikut ajaran Syiah, mereka sebenarnya bertopeng ajaran Islam, mereka berselindung di sebalik jenama ahli bait (keluarga Nabi Muhammad SAW) terutama jalur Saidina Husein R.A. Sedangkan pada hakikat mereka memusuhi ahli bait dan merekalah yang membunuh Saidina Husein R.A.

“Mereka beriman bahawa imam-imam mereka bersifat ketuhanan. Imam tahu perkara ghaib. Imam merekalah yang menentukan bagaimana cara mereka hendak mati. Imam mereka boleh menghidup dan mematikan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memaklumkan, gerakan ajaran Syiah di negeri ini dilihat semakin meluas dan membimbangkan.

Pengerusinya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya mengesan wujud pertambahan pusat kegiatan bagi pengikut ajaran Syiah di sekitar Selangor.

Beliau berkata, pihaknya percaya pertambahan bilangan kumpulan dan pengikut Syiah ekoran wujudnya bantuan dari pihak tertentu untuk mengembangkan kegiatan serta aktiviti sambutan bagi ajaran itu pada hari tertentu.

Bukan itu sahaja,  Ustaz Mohamad berkata, Syiah turut melaknat umul mukminin terutama Saiditina Aishah dan Saiditina Hafshah radiallahu anhuma.

“Syiah mengkafirkan seluruh para sahabat radiallahu anhum termasuk Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman. Yang mereka tidak kafirkan hanya empat orang iaitu Salman al Farisi, al Miqdad Amru, Abu Dzar al Ghifari. Justeru, Syiah adalah ancaman yang bahaya kepada kehormonian dan keselamatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, menjadi kewajiban kepada pihak yang bertanggungjawab dan para asatizah untuk menjelaskan hakikat ajaran Syiah.

“Pihak berkuasa MAIS, JAIS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta badan berkuasa yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang sengaja mengembangkan ajaran Syiah di Selangor secara khusus dan dalam negara secara umumnya.

“Umat Islam juga kena bersatu untuk menjaga kesucian akidah umat Islam,” tegasnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close