Berita UtamaDuniaUtama

Penumpang ke China tidak lagi disediakan makanan panas

Ada syarikat ambil langkah drastik dengan batal penerbangan

BANGKOK, 4 Jamadilakhir 1441H, Rabu – Penumpang untuk beberapa penerbangan ke China tidak akan diberikan makanan panas, selimut dan surat khabar, selaras dengan langkah terbaharu syarikat penerbangan untuk melindungi anak kapal serta pelancong dari wabak coronavirus yang telah membunuh lebih dari 130 orang di negara republik itu.

Syarikat penerbangan milik Taiwan, China Airlines berkata, pihaknya menggalakkan penumpang membawa botol minuman mereka sendiri dan akan mengehadkan barang-barang yang boleh digunakan semula dengan menggantikannya dengan bahan buang.

Selain syarikat penerbangan itu, Mandarin Airlines juga sudah berhenti menghidangkan makanan panas dan menggantikan alas meja serta tuala dengan tuala kertas. 

Mereka juga berhenti memberikan selimut, bantal, tuala, majalah dan surat khabar, manakala fon telinga pakai buang serta minuman dibekalkan hanya atas permintaan.

Thai Airways pula menyembur bahan pembasmian kuman pada kabin penumpang dan ruang kokpit dalam semua penerbangan balik dari China serta destinasi berisiko tinggi.

“Kerana kita menyediakan hiburan dalam penerbangan yang di mana skrin LCD disentuh sepanjang masa, jadi kita membersihkan setiap pesawat sebelum berlepas,” kata seorang eksekutif pada sidang media, semalam.

Syarikat penerbangan lain termasuk Singapore Airlines dan Cathay Pacific Airways Ltd Hong Kong membenarkan, kru memakai topeng muka dalam penerbangan ke China.

Sementara, American Airlines pula menyediakan tisu pembasmi kuman kepada kru penerbangan untuk digunakan sebelum berlepas ke China.

Malah, ada yang mengambil tindakan lebih drastik dengan membatalkan penerbangan.

Syarikat penerbangan tambang murah Korea Selatan, Air Seoul semalam berkata, bahawa ia akan menghentikan semua penerbangan ke China berikutan kebimbangan pelancong mengenai wabak berkenaan.

Manakala, United Airlines Holdings Inc menangguhkan 24 penerbangan dari Amerika Syarikat ke Beijing, Hong Kong dan Shanghai antara 1 dan 8 Februari depan disebabkan penurunan permintaan yang mendadak. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close