Berita UtamaUtama

Coronavirus: Masjid Putra buat keputusan tepat

Tidakkah menteri tahu kesihatan amat berharga berbanding wang

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Jamadilakhir 1441H, Rabu – Tindakan Masjid Putra di Putrajaya menutup pintu lawatan bagi pengunjung bukan Islam susulan kebimbangan penyebaran wabak coronavirus disifatkan sebagai langkah tepat.

Ketua Wanita gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustazah Dr Suriani Sudi percaya, pihak pengurusan masjid bertindak sedemikian sebagai langkah pencegahan bagi menjaga dan menyekat penyebaran wabak di lokasi umat Islam melaksanakan ibadah solat.

Katanya, Masjid Putra telah mengambil sikap bertanggungjawab demi keselamatan umat Islam yang menunaikan solat daripada dijangkiti virus berkenaan.

“Hakikatnya, Masjid Putra mengambil langkah berjaga-jaga kerana kita sendiri pun tidak pasti adakah semua pelancong benar-benar bebas dari virus ini kerana mereka hanya diimbas suhu sahaja sebelum masuk ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Ahad lalu, Masjid Putra mengambil langkah menutup lawatan bagi pengunjung bukan Islam susulan kebimbangan penyebaran wabak coronavirus, namun ia dibuka kepada muslim untuk menunaikan solat.

Bagaimanapun, tindakan pengurusan masjid itu tidak mendapat persetujuan dari Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau menegaskan, langkah penutupan lokasi tumpuan termasuk Masjid Putra dari dikunjungi pelancong adalah tindakan salah kerana katanya, semua pelancong yang tiba di Malaysia adalah sihat.

Menempelak dakwaan menteri berkenaan, Ustazah Suriani berkata, Mohamaddin tidak seharusnya mementingkan keuntungan berbanding kesihatan rakyat.

“Tidakkah beliau tahu nilai kesihatan adalah amat berharga berbanding wang dan harta?,” soal beliau.

Bahkan, Ustazah Suriani turut memetik ulasan Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kuala Lumpur, Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan bahawa, saringan suhu di pintu masuk negara tidak mencukupi untuk mengawal atau mengekang penyebaran coronavirus ke Malaysia.

“Malah katanya lagi, terdapat kes di mana pesakit dijangkiti novel coronavirus, namun tidak mempunyai simptom seperti demam, batuk dan gejala lain. Bahkan, pesakit mungkin tidak sedar telah dijangkiti kerana ia dianggarkan mungkin mengambil masa hingga dua minggu untuk simptom muncul.

“Ditambah dengan sifat virus ini yang amat cepat merebak, maka tindakan Masjid Putra ini adalah satu tindakan yang tepat,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close