Berita PilihanBerita UtamaUtama

Coronavirus: JLM pantau pelancong masuk di jeti, pelabuhan

Sampaikan maklumat kemasukan bot China untuk saringan

KUALA LUMPUR, 4 Jamadilalkhir 1441H, Rabu – Jabatan Laut Malaysia (JLM) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah atau Negeri serta Pihak Berkuasa Kesihatan Pelabuhan sentiasa memantau kemasukan pelancong asing ke negara ini melalui laluan terminal penumpang antarabangsa dan terminal kapal pesiar.

JLM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan langkah itu sebagai mengambil maklum perkembangan terkini 2019 novel koronavirus dan bersiap siaga bagi menghadapi potensi penularannya melalui pengguna jeti dan pelabuhan negara.

JLM juga akan memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Negeri dan Pihak Berkuasa Kesihatan Pelabuhan sekiranya menerima kemasukan bot layar dari China serta pelayar dari China bagi tujuan saringan kesihatan.

“Bagi kapal-kapal yang memasuki pelabuhan, JLM akan membantu dari segi pemberitahuan kepada Pihak Berkuasa Kesihatan Pelabuhan sekiranya pelabuhan terakhir kapal tersebut adalah dari China.

“Seterusnya Pihak Berkuasa Kesihatan Pelabuhan akan naik ke kapal di kawasan berlabuh. Sekiranya ada kes, kapal akan dikuarantin di kawasan kuarantin yang ditetapkan, sebagai contoh Perairan Pintu Gedong untuk negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan JLM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan secara berterusan melalui maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close