Berita PilihanBerita UtamaUtama

ADUN Gadek gagal peroleh jaminan

Malaysia masih wartakan LTTE sebagai kumpulan pengganas

KUALA LUMPUR, 4 Jamadilalkhir 1441H, Rabu – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G. Saminathan yang menghadapi pertuduhan memiliki item dan memberi sokongan berkaitan kumpulan pengganas LTTE, supaya dibebaskan dengan jaminan sehingga kesnya selesai.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian atas alasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Ahmad Shahir dalam penghakimannya berkata KDN melalui Seksyen 66B dan 66D Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) telah mewartakan LTTE sebagai entiti ditentukan berkaitan dengan suatu perbuatan keganasan yang mempunyai erti yang sama dengan Seksyen 130B Kanun Keseksaan.

“Negara kita masih mewartakan LTTE sebagai kumpulan pengganas dan KDN masih belum menyahkannya daripada senarai pewartaan, walaupun ada dakwaan bahawa ia telah dibubarkan di negara asalnya, Sri Lanka,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata kesalahan dilakukan tertuduh di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, telah memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

“Biasanya, mahkamah tidak dapat memberikan jaminan atas kesalahan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata tiada bukti kukuh menunjukkan masalah kesihatan dihadapi tertuduh akan mengancam nyawanya berdasarkan laporan yang dikeluarkan sebuah hospital pakar di Balakong bertarikh 30 Novemeber 2019.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Februari untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah dan Rohaiza Abd Rahman.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Saminathan, 35, ketika ditemui pemberita berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya mengenai langkah yang akan diambil susulan keputusan hari ini.

“Kemungkinan pihak kami akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini atau akan mengemukakan permohonan baru,” katanya yang turut menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu.

Pada 20 Jan lepas, Saminathan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov, 2018.

ADUN itu juga didakwa memiliki item berkaitan kumpulan pengganas itu di dalam sebuah telefon bimbit di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di Melaka, pada 10.25 pagi, 10 Okt 2019.

Pada 18 Disember lepas, Mahkamah Sesyen Melaka menolak permohonan jaminan Saminathan kerana kes berkenaan membabitkan keselamatan negara.

Saminathan turut menghadapi satu lagi pertuduhan lain iaitu memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi Facebook.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close