Berita UtamaUtama

UTM arah semua aktiviti perjalanan ke China ditangguh

Pengawasan dalam rumah disedia kepada pelajar tiba dari China

JOHOR BAHRU, 3 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini mengeluarkan arahan supaya semua aktiviti dan perjalanan ke China membabitkan kakitangan dan pelajarnya ditangguhkan serta-merta berikutan ancaman penyebaran jangkitan 2019 novel koronavirus yang melanda dunia.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, UTM memaklumkan, beberapa keputusan lain turut diambil memandangkan universiti berkenaan mempunyai pelajar antarabangsa termasuk dari China.

“Selain penangguhan semua aktiviti ke negara China, UTM turut melakukan saringan kesihatan sekali lagi terhadap 30 orang pelajar dari Hebei (kira-kira 1,000 kilometer dari bandar Wuhan) yang telah berada di kampus Johor Bahru sejak 10 Januari lalu.

“Walaupun pelajar-pelajar tersebut tidak menunjukkan sebarang simptom namun langkah proaktif perlu dilakukan bagi menggelakkan sebarang risiko,” menurut universiti itu.

Selain itu, lokasi kediaman bagi pengawasan dalam rumah (home surveillance) turut disediakan kepada pelajar-pelajar yang akan tiba dari China dan mereka yang pernah ke negara tersebut dalam tempoh terdekat.

Menurut UTM, semua pelajar itu akan melalui saringan kesihatan di lapangan terbang oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan akan dibawa terus ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebaik tiba di UTM bagi melalui saringan kesihatan sekali lagi sebelum dibawa ke lokasi pengawasan dalam rumah.

“Home surveillance akan dibuat selama 14 hari dan sebarang aktiviti pelajar akan dipantau dengan sebaiknya bagi memastikan tiada ancaman dan risiko terhadap warga UTM yang lain.

“UTM akan terus memantau perkembangan jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh daripada KKM dan PKU UTM juga sentiasa berhubung rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” jelas UTM.

Sehubungan dengan itu, warga UTM turut dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan perubatan di PKU atau pusat rawatan berdekatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran untuk bernafas. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close