Berita UtamaUtama

Pemandu mabuk: Sampai bila mahu kaji?

Ini soal keadilan, khusus kepada mangsa apatah lagi kehilangan nyawa

BANGI, 3 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Sudah tiba masanya peraturan berkaitan kadar alkohol di dalam badan ketika memandu diperketatkan.

Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia bukan tergolong dalam kategori negara yang baik dalam menggubal undang-undang dan peraturan mengenai jumlah alkohol dalam badan ketika memandu, mengikut Laporan Keselamatan Jalan Raya 2018 yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Oleh itu, perkara ini mesti diambil perhatian. Gesaan saya ini bukan sengaja hendak cari ruang hukum pesalah. Tetapi ini soal keadilan, khususnya kepada mangsa apatah lagi yang kehilangan nyawa. Dan ini juga soal kesedaran serta keselamatan.

“Harap Kerajaan PH (Pakatan Harapan) tidak ambil mudah isu ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, seorang pemandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol merempuh sebelas kenderaan lain di kawasan parkir di Flat Taman Kota Pendamar 2, Klang, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 9.35 malam itu, pemandu berusia 46 tahun itu dipercayai memandu dari Pendamar Indah menghala ke Pelabuhan Klang, sebelum melanggar pelbagai kenderaan di flat terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ujian awal terhadap pemandu terbabit mendapati kandungan alkohol dalam darahnya melebihi paras yang dibenarkan.

Mengulas mengenai perkara itu, Hishammudin berkata, pihaknya bimbang melihat kadar kemalangan yang berpunca dari pemandu mabuk sejak kebelakangan ini.

“Semalam dan empat hari lepas di Klang. Lima hari sebelumnya di Ipoh. November lepas di KESAS (Lebuh Raya Shah Alam).

“Seolah-olah tiada langsung rasa takut dan bersalah bagi segelintir pemandu,” katanya kesal.

Lantaran itu, beliau menggesa pihak berwajib khususnya Kementerian Pengangkutan Malaysia supaya tidak berlengah untuk mengambil tindakan tegas ke atas pemandu mabuk.

“Takkan setiap kali berlaku insiden begini, responnya cuma akan kaji? Nak kaji sampai bila?

“Kelmarin PDRM (Polis Diraja Malaysia) pun kata hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Saya setuju dan mesti disegerakan,” tegasnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close