Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

Lima juta penduduk tinggalkan bandar Wuhan, perlahankan penyebaran

Wabak coronavirus sukar diurus, wujud pembawa tersembunyi

BEIJING, 3 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Sekurang-kurangnya lima juta penduduk Wuhan meninggalkan bandar itu sebagai langkah untuk memperlahankan penyebaran wabak novel coronavirus.

Datuk Bandarnya, Zhou Xianwang berkata, kira-kira sembilan juta penduduk masih berada di bandar berkenaan selepas dikuarantin pada Khamis lalu, menurut South China Morning Post.

Daripada 2,700 penduduk di bawah pemerhatian di Wuhan, sebanyak 533 kes telah disahkan menghidap penyakit itu.

Wuhan adalah bandar ketujuh terbesar di China dengan populasi kira-kira 11 juta penduduk.

Penyebaran wabak menjadi punca para penduduk bandar itu terpaksa berhijrah, tambahan pula perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini adalah percutian penting untuk pekerja kembali ke kampung halaman.

Para pekerja di China mendapat cuti selama seminggu, bermula dari 24 hingga 30 Januari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina, namun Majlis Negeri China memutuskan secara rasmi ia dilanjutkan sehingga 2 Febuari depan.

Majlis itu juga berkata, sesi persekolahan dan universiti akan digantung sehingga ke tarikh akan diberitahu oleh Kementerian Pendidikan.

Dalam satu sidang media, Ketua Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Ma Xiaowei menyifatkan, wabak berkenaan rumit untuk diperangi, lebih-lebih lagi ia boleh ditularkan walaupun ketika tempoh inkubasi selama 14 hari.

“Sesetengah pesakit mempunyai suhu normal dan terdapat banyak kes-kes yang lebih ringan. Wabak ini ada pembawa tersembunyi.

“Terdapat tanda-tanda yang menunjukkan virus menjadi lebih mudah dipindahkan atau dijangkiti. Ejen tersembunyi ini yang membuatkan pengurusan wabak ini menjadi lebih sukar, ” katanya.

Sehingga semalam, Beijing mengesahkan bahawa seramai 81 penduduk Negara Tembok Besar itu maut akibat wabak coronavirus itu, dengan 2,744 telah terjangkit dan terdapat tambahan 13 kes di Hong Kong dan Macau.

Virus itu juga telah merebak ke 13 negara lain, termasuk Amerika Syarikat, di mana sebanyak lima kes disahkan di negara itu sejak petang semalam.-Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close