Berita Utama

Usaha iktiraf kampung baru Cina di UNESCO, cubaan menteri DAP ubah naratif sejarah?

Pemimpin UMNO jangan berpeluk tubuh, mesti bantah dalam Kabinet

BANGI, 24 Rejab 1445H, Isnin – Armada Bersatu mempertikaikan usaha pengiktirafan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, ada banyak lagi warisan kebudayaan dan sejarah kaum Tionghua yang lebih layak dan bertepatan dengan semangat Dasar Kebudayaan Kebangsaan seperti budaya yang diwariskan oleh Cina Peranakan atau Baba Nyonya.

Baginya, ia bukan sahaja berganda lebih baik bahkan menepati ciri-ciri Tapak Warisan Dunia UNESCO yang cocok dengan acuan Malaysia.

“Satu lagi cadangan ‘bernas’ daripada Menteri DAP daripada Kerajaan Madani.

“Apa nilai sejarah dan perpaduan buat Kampung Baru Cina di Selangor ini layak diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO oleh Kerajaan Madani?

“Kampung Baru Cina di Malaysia adalah bukti peninggalan (remnants) Perang Dingin (Cold War) ketika kita melawan ancaman pengganas Bintang Tiga Komunis yang telah mengorbankan ramai tentera dan polis kita tidak kira bangsa Melayu, Cina, India, Sikh dan ramai lagi termasuk British,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang mempersoalkan motif sebenar menteri DAP mengusulkan cadangan sedemikian.

Menurutnya, dari segi keutamaan adalah lebih wajar kerajaan mengangkat Kampung Baru Kuala Lumpur sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana nilai sejarahnya buat negara lebih bertepatan dengan dasar dan identiti Malaysia.

“Adakah ini satu lagi percubaan mengubah naratif sejarah dan identiti negara dengan menormalisasikan peninggalan titik hitam dalam sejarah negara?

“Menteri-menteri UMNO jangan berpeluk tubuh dalam hal ini! Mesti bantah dalam Kabinet!” tegasnya.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, pihaknya sedang merangka untuk mencalonkan kampung baru Cina di Selangor di UNESCO.

Langkah itu dakwanya, bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarahnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button