Berita UtamaPendapatUtama

Coronavirus sebabkan demam selsema serius bawa kematian

Penyakit MERS-CoV, SARS beri gejala sama seperti wabak Wuhan

CORONAVIRUS adalah nama umum untuk sejenis virus yang menyebabkan demam selsema daripada selsema ringan hinggalah dalam bentuk serius sehingga menyebabkan kematian.

Analogi mudah untuk faham adalah coronavirus macam nama bapa. Anak-anak akan dinamakan dengan nama masing-masing, tetapi berbinkan nama bapa yang sama.

Jadi kita kenal anak itu daripada namanya, nama mereka berbeza tetapi semua mempunyai bapa yang sama.

Setakat ini nama-nama anak yang sangat terkenal adalah MERS-CoV singkatan kepada Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus dan SARS-CoV (Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus).

Coronavirus ini dipanggil Zoonotik sebab boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia.

Mereka boleh menjalani proses “antigenic shift” sehingga boleh menukar sasaran jangkitan daripada haiwan kepada manusia.

MERS-CoV ditularkan daripada kelawar dan unta kepada manusia (mula dikesan di Arab Saudi), virus ini menyebabkan kematian seramai 800 orang di Timur Tengah sekitar tahun 2012.

SARS-CoV pula dipercayai ditularkan daripada kelawar dan kucing civet kepada manusia (mula dikesan di Guangdong, China), mula menyerang manusia pada tahun 2002/2003 dan membunuh sekitar 700 orang di China dan Hong Kong.

Kaedah sebenar bagaimana virus ini boleh menular daripada haiwan kepada manusia belum diketahui oleh ahli Sains, tetapi berkemungkinan melalui makanan ataupun kontak secara terus dengan haiwan-haiwan ini.

Disebabkan manusia berpindah dan bergerak, virus-virus ini tersebar di banyak negara, tidak hairanlah mengapa negara kita juga tidak terkecuali.

Sekarang ini lahir satu lagi ahli keluarga coronovirus yang belum dikenali, bukan MERS-CoV dan bukan SARS-CoV.

Disebabkan ianya baru dilahirkan dan belum ada nama, maka ia diberi nama sementara sebagai 2019 Novel Coronavirus ataupun 2019-nCoV.

Coronavirus yang baru ini dipercayai lahir di daerah Wuhan negeri China pada tahun 2019 dan seperti juga dengan MERS-CoV dan SARS-CoV, 2019-nCoV juga adalah zoonotik.

Haiwan yang menjadi tempat asal coronavirus yang baru ini berkemungkinan daripada kelawar dan ular.

Disebabkan ketiga2 adik-beradik ini daripada keluarga yang sama, maka mereka memiliki beberapa ciri-ciri persamaan.

Mereka memberi gejala-gejala yang lebih kurang sama iaitu demam, selsema, batuk, sesak nafas dan di dalam kes yang serius menyebabkan radang paru-paru dan kematian.

Kaedah penyebaran pun hampir sama. Setakat ini, belum ada vaksin dan antiviral yang berkesan untuk mencegah dan merawatnya.

Pada waktu yang sama mereka juga memiliki perbezaan dan salah satu daripadanya adalah tahap keganasan (kalau dalam keluarga, tahap kenakalan dan kejahatan).

Memang sukar untuk mengukur tahap keganasan virus-virus ini kerana ahli sains perlu menentukan bilangan manusia yang dijangkiti dan yang mati.

Bilangan yang mati mungkin lebih mudah tetapi untuk menentukan jumlah orang yang dijangkiti memang sukar kerana ramai yang terlepas daripada dikesan dan ada juga yang tidak mempunyai gejala.

Selalunya data yang diperolehi lebih rendah dari bilangan sebenar. Kadar kematian adalah salah satu ukuran tahap keganasan.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kematian akibat jangkitan MERS-CoV adalah 34 peratus, maksudnya daripada 100 orang yang dijangkiti, 34 orang akan mati.

Manakala kadar kematian jangkitan SARS-CoV pula adalah 9.6 peratus.

Kadar kematian 2019-nCoV pula masih tidak diketahui dengan tepat kerana penyakit ini masih merebak tetapi kajian awal setakat ini mungkin di dalam lingkungan 3 hingga 4 peratus.

Ia akan berubah mengikut masa dan ketepatan data.

Satu lagi perbezaan dari aspek tahap keganasan adalah sejauh mana ia boleh merebak sesama manusia.

Ahli Sains menggunakan ukuran R0, simbul untuk “Basic Reproduction Number”.

Contohnya kalau R0 bernilai 2, maksudnya seseorang pesakit akan menjangkiti 2 orang lain dalam satu2 masa.

Jadi, lagi tinggi nilai R0, maka semakin mudah jangkitan disebarkan.

R0 untuk virus MERS-CoV adalah kurang dari 1 dan SARS-CoV 2-5. Kajian awal ke atas 2019-CoV menunjukkan R0 nya adalah di dalam lingkungan 3.30-5.40.

Untuk perbandingan dengan virus-virus lain, Ro virus campak adalah 12-18, virus Polio 5-7, virus Rubella 6-7 dan virus Ebola 2.

Jumlah kematian akibat jangkitan virus dipengaruhi bukan sahaja oleh kadar kematian dan R0, tetapi juga faktor-faktor manusia, keberkesanan program pencegahan dan rawatan di sesebuah negara.

Walaupun kadar kematian tidak tinggi, jika berlaku di tempat yang populasinya padat dan sering bergerak, ditambah pula dengan kelemahan mengawal penyebaran penyakit maka bilangan yang akan dijangkiti tentulah tinggi.

Maka apabila jumlah yang dijangkiti tinggi, jumlah kematian juga tinggi.

Kadar kematian juga tinggi dalam kalangan kanak2, orang tua dan yang menghidap penyakit2 kronik lain.

Paling membimbangkan adalah jika jangkitan virus ini berlaku di negara yang padat dan mundur di mana program pencegahan, kawalan dan rawatan penyakit kurang berkesan.

Negara kita adalah di antara negara yang mempunyai program kesihatan yang terbaik di dunia, maka percayalah kepada perancangan dan tindakan yang sedang dilakukan oleh kerajaan dan KKM.

Datuk Dr Mohd Rushdan B Mohd Noor
Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi, Hospital Sultanah Bahiyah

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

RUJUKAN

Mahase E. China Coronavirus: What do we know so far. BMJ 2020;368:m308 doi: 10.1136/bmj.m308 (Published 24 January 2020)

World Health Organization. Middle East respiratory syndrome coronavirus (MERS-CoV).https://www.who.int/en/news-room/fact-sheets/detail/middle-east-respiratory-syndrome-coronavirus-(mers-cov)

World Health Organization. WHO MERS global summary and assessment of risk. Aug2018. https://www.who.int/csr/disease/coronavirus_infections/risk-assessment-august-2018.pdf.

World Health Organization. Consensus document on the epidemiology of severe acuterespiratory syndrome (SARS). https://www.who.int/csr/sars/en/WHOconsensus.pdf

Zhao S, Ran J, Musa SS, et al. Preliminary estimation of the basic reproduction number of novel coronavirus (2019-nCoV) in China, from 2019 to 2020: A data-driven analysis in the early phase of the outbreak. doi: https://doi.org/10.1101/2020.01.23.916395. Posted Jan 24 2020.

Al-Hazmi A. Challenges presented by MERS corona virus, and SARS corona virus to global health. Saudi J of Biological Sciences, 2016; http://dx.doi.org/10.1016/j.sjbs.2016.02.019
https://www.biorxiv.org/content/10.1101/2020.01.23.916395v1

https://www.who.int/en/news-room/fact-sheets/detail/middle-east-respiratory-syndrome-coronavirus-(mers-cov)

https://www.medicalnewstoday.com/articles/262538.php

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close