Berita UtamaUtama

Coronavirus: Jadilah kerajaan bertanggungjawab, tak perlu tunggu WHO

Jangan salah rakyat tular berita palsu, tuding diri sendiri

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 3 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Sekiranya kerajaan Malaysia mengutamakan isu keselamatan rakyat, sudah pasti mereka bertindak menutup sementara pintu kepada pelancong China tanpa perlu menunggu ‘arahan’ dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menegaskan perkara itu, Ketua Penerangan Parti Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad berkata, hal ini kerana virus dari China melibatkan nyawa merentas sempadan politik.

“Apatah lagi wabak coronavirus (2019-nCoV) ini merupakan satu wabak yang baharu dan disahkan banyak pertubuhan kajian kesihatan global antara virus yang paling cepat tersebar dan menjangkiti manusia.

“Malah lebih misteri lagi, manusia yang telah dijangkiti tidak memperlihatkan simptom-simptom awal wabak menjadikan virus ini sukar dikesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan menggantung sementara kemasukan rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta bandar sekitarnya, susulan penyebaran coronavirus baharu yang merebak ke banyak negara, termasuk Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, penggantungan itu membabitkan semua kemudahan imigresen kepada warga China dari bandar terbabit, meliputi kemudahan tanpa visa, visa semasa ketibaan (VOA), e-visa dan visa manual.

Pada masa sama, kerajaan juga mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkaitan coronavirus yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.

Mengulas lanjut, Hazwan kesal, apabila kerajaan akhirnya bertindak menyalahkan rakyat sedangkan mereka yang gagal memberi penerangan efektif berhubung isu itu.

“Ironinya, kegagalan kerajaan membendung berita-berita palsu yang tular, adalah hasil dari sebuah kerajaan yang mendabik dada menyahkan Akta Berita Palsu di Parlimen suatu ketika dahulu.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar kerajaan terus bertindak tegas dalam isu ini dan bersikap telus dalam menyampaikan berita (transparent),” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close