Berita UtamaUtama

26 hospital kendali kes jangkitan coronavirus

Kes dipantau hingga tamat tempoh inkubasi virus paling kurang 14 hari

KUALA LUMPUR, 3 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti sebanyak 26 hospital di seluruh negara sebagai langkah kesiapsiagaan bagi mengendalikan kes disyaki jangkitan 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSA JB) sebagai contoh merupakan hospital rujukan bagi kes yang disyaki dan disahkan positif coronavirus bagi negeri Johor.

“Bagi memastikan penggunaan fasiliti KKM sedia ada yang optimum, kes-kes yang disyaki atau disahkan positif 2019-nCoV dan berada dalam keadaan stabil akan dirawat dan dipantau oleh Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit HSA JB di wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru.

“Hospital Permai mempunyai kemudahan fasiliti yang amat baik serta dikawal rapi oleh polis bantuan bagi memastikan tiada pencerobohan oleh mana-mana pihak yang tidak berkenaan. Namun sekiranya terdapat kes-kes yang kritikal dan memerlukan rawatan dan pemantauan rapi, satu wad isolasi khas telah pun dikenal pasti untuk digunakan di HSA JB,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook Ketua Pengarah Kesihatan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga berkata tatacara pengendalian kes-kes disyaki yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti koronavirus.

Dr Noor Hisham turut merakamkan penghargaan kepada kesemua petugas kesihatan terutamanya di lapangan yang sedang bertungkus-lumus memastikan kejadian kluster jangkitan coronavirus dapat dikawal.

“Terima kasih juga kepada semua pihak termasuk pihak swasta yang telah memberikan kerjasama yang baik demi memastikan keselamatan dan kesihatan awam rakyat terpelihara,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingannya dalam laman Facebooknya selepas majlis taklimat dengan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkenaan kesiapsiagaan mengendalikan kes koronavirus di peringkat negeri, Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan penyakit koronavirus itu.

Katanya, kes-kes yang disyaki akan diperiksa dan dirujuk ke hospital KKM yang telah dikenal pasti untuk pengambilan sampel serta pemantauan perkembangan gejala kes.

“Kes-kes ini dipantau sehingga tamat tempoh inkubasi virus ini iaitu sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh pendedahan atau berlepas dari negara China. Ini adalah selari dengan Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Mengenai majllis taklimat dengan Menteri Besar Johor itu, Dr Noor Hisham berkata, antara perkara dibincangkan ialah langkah-langkah kesiapsiagaan dan respons pihak kesihatan di peringkat negeri bagi menghadapi kluster jangkitan koronavirus.

“Antara perkara yang dibincangkan sebentar tadi termasuk mengenai pengendalian kes yang disyaki dan disahkan positif 2019-nCoV, pelaksanaan Perintah Pemantauan dan Pengasingan kontak rapat kes yang positif 2019-nCoV, keperluan aset dan sumber manusia, serta kerjasama rapat KKM dengan Kerajaan Negeri Johor dan agensi-agensi yang berkaitan termasuk pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close