Berita UtamaUtama

Sekat masuk pelancong China dialu-alukan

KKM penentu muktamad coronavirus kritikal atau tak ikut kenyataan WHO

BANGI, 2 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Langkah kerajaan untuk menyekat pelancong China khususnya dari Wuhan adalah satu tindakan yang sangat dialu-alukan.

Pegawai Perubatan Sarjana, Jabatan Perubatan Dalaman Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Fatimah Zaharah Rosli berkata, perkara itu penting kerana para doktor dan anggota kesihatan akan bertungkus-lumus untuk berhadapan dengan pesakit, yang sama ada telah disahkan atau disyaki menghidap wabak novel coronavirus (2019-nCoV).

Beliau berkata, para pesakit yang disyaki menghidap wabak berkenaan akan dikuarantin dan diambil sampel sementara menunggu keputusan pengesahan.

“Kita akan anggap mereka ini seolah-olah memang menghidap penyakit coronavirus.

“Jadi kami adalah ‘frontliner’ yang akan berdepan dengan pesakit ini. Sekiranya kita dapat menyekat daripada awal, maknanya kita tahu sumbernya penyakit itu daripada mana, yakni sumber itu seperti kita ketahui berpunca daripada tempat bernama Wuhan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Cakap Serupa Bikin, TV Pertiwi, malam ini.

Terdahulu, kerajaan akhirnya memutuskan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei, berkuat kuasa serta-merta.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, penggantungan sementara itu membabitkan kemudahan tanpa visa (eNTRY), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan coronavirus di negara China, khususnya di wilayah Hubei.

Sebelum ini, kerajaan China mengumumkan angka kematian di Hubei meningkat kepada 81 orang akibat wabak berkenaan.

Media antarabangsa juga melaporkan bahawa negara Tanah Besar itu mencatatkan 2,744 kes, 769 terkena jangkitan, manakala 461 lagi kritikal.

Mengulas lanjut, Dr Fatimah berkata, kerajaan telah pun mengikut protokol dan prosedur, di mana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi mengumumkan coronavirus tergolong dalam Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) .

“Sekiranya mereka telah mengumumkan PHEIC ini, maknanya langkah-langkah yang lebih ketat perlu diambil,” katanya.

Ketika ditanya sama ada wabak coronavirus dikategorikan sebagai kritikal, Dr Fatimah berkata, perkara itu sepatutnya diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri.

Katanya, KKM adalah penentu muktamad mengenai penyakit itu berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh WHO.

“WHO kata wabak ini kritikal, cuma belum sampai tahap untuk keluarkan kenyataan ianya adalah PHEIC yang menjadi darurat,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close