Berita UtamaUtama

Saringan suhu tidak cukup kekang wabak koronavirus

Malaysia berhak buat keputusan walaupun WHO belum keluar larangan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 2 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Tindakan memperketatkan saringan suhu di pintu masuk negara tidak mencukupi untuk mengawal atau mengekang penyebaran wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV) ke Malaysia.

Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kuala Lumpur, Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan berkata, ini kerana terdapat kes di mana pesakit yang dijangkiti Novel Coronavirus, namun tidak mempunyai simptom seperti demam, batuk dan gejala lain.

Sehubungan itu, tindakan terbaik yang disarankan adalah menghalang atau mengetatkan kemasukan pelancong China ke Malaysia, sebelum penularan jangkitan menjadi lebih teruk di negara ini, katanya.

“Ini boleh dibuat melalui larangan lawatan ke China khususnya ke Wuhan serta larangan atau mengetatkan kemasukan pelancong dari China khususnya Wuhan, sama ada melalui jalan udara, darat mahu pun laut.

“Malah, telah ada negara yang telah berbuat demikian bagi menjaga keselamatan kesihatan rakyat mereka,” katanya dalam artikel yang disiarkan di ruangan Pendapat Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih belum mengeluarkan sebarang larangan lawatan dan perdagangan dengan China, Malaysia berhak untuk lebih ke hadapan demi melindungi rakyat.

“Dan larangan serta sekatan ini adalah bersifat sementara sehingga keadaan penularan jangkitan menjadi lebih terkawal serta rawatan yang lebih jelas ditemui.

“Walaupun kerajaan perlu mengambil kira aspek politik, hubungan antara negara serta ekonomi dalam mengeluarkan tindakan ini, aspek keselamatan kesihatan rakyat Malaysia perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu lagi kes yang disahkan dijangkiti koronavirus malam tadi, menjadikan jumlah individu disahkan positif 2019-nCoV kepada empat setakat ini.

Kes terbaharu itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak, yang mendesak kerajaan supaya menyekat sementara kemasukan pelancong China ke negara ini sehingga wabak berkenaan pulih.

IKUTI ULASAN PENUH BELIAU MENGENAI NOVEL CORONAVIRUS DALAM RUANG PENDAPAT ISMAWEB.NET

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close