Berita UtamaUtama

PDRM, SKMM beri amaran kepada penyebar berita palsu

Boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda

BANGI, 2 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih mengenai penularan novel koronavirus (2019-nCoV) di Malaysia.

Amaran itu dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Mengambil serius perkara itu, PDRM dan SKMM berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik atau kegusaran kepada orang awam, seterusnya menimbulkan kekecohan serta kemudaratan kepada kestabilan negara.

“Pemantauan oleh PDRM dan SKMM mendapati media sosial dan pesanan dalam talian telah menjadi satu platform utama bagi penularan berita palsu mengenai novel koronavirus.

“Penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duannya,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pendakwaan turut boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

“PDRM dan SKMM telah mengenal pasti empat individu untuk membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan dengan novel koronavirus.

“Orang awam digesa supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita mengenai novel koronavirus sebelum mempercayai atau menyebarkannya, terutama yang dikeluarkan oleh pihak selain dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close