Dr Ahmad Sanusi AzmiPendapatUtama

Mari Bersama Doakan Petugas Kesihatan

1. DALAM situasi penularan wabak ini, marilah bersama kita doakan kesejahteraan buat semua petugas kesihatan dan seluruh penjawat awam yang bertungkus lumus berkhidmat dalam menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia dari ditimpa sebarang bencana penyakit.

2. Biarpun ada di kalangan kita yang terkadang mencemuh dan memandang rendah penjawat awam, jasa dan pengorbanan mereka tidak boleh dinafikan. Jangan pula ada yang mencadangkan agar elaun kritikal mereka dipotong pula setelah usaha dan pengorbanan mereka buat tanah air tercinta.

3. Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu lagi kes positif koronavirus di Malaysia menjadikan keseluruhan sebanyak empat kes (Sinar Harian). Kes terbaru itu merupakan seorang lelaki 40 tahun berasal dari Wuhan, China yang tiba di Johor Bahru pada 22 Januari lalu dengan menaiki bas dari Singapura. Lelaki itu datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang kesemuanya yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya.

4. The Star turut melaporkan bahawa Kementerian Kesihatan sedang membincangkan cadangan untuk menyekat kemasukan pelancong dari China. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Lee Boon Chye. Mesyuarat telah pun diatur oleh agensi yang terlibat yang dikendalikan oleh Dr Wan Azizah selaku Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

5. Setiap Muslim juga disarankan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengawal wabak ini. Amalkanlah doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi agar kita terpelihara dari sebarang kemudaratan. Sabda Rasulullah:

مَنْ قَالَ : بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُصْبِحَ ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

(doa di atas) sebanyak tiga kali pada waktu petang, maka dia tidak akan ditimpa sesuatu bala (musibah) yang mengejut sehinggalah tiba waktu pagi. dan siapa yang membacanya pada waktu pagi, maka dia tidak akan ditimpa bala (musibah) sehingga waktu petang. (HR Abu Daud)

Semoga Allah memelihara Malaysia dari segala kemudaratan.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close