Berita UtamaUtama

Koronavirus: Putrajaya gantung kemasukan pelawat China

Wisma Putra akan selaras keputusan bersama pihak Beijing

BANGI, 2 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Kerajaan akhirnya memutuskan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara China dari bandar Wuhan dan wilayah Huabei, berkuat kuasa serta-merta.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, penggantungan sementara itu membabitkan kemudahan tanpa visa (eNTRY), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV) di negara China, khususnya di wilayah Hubei.

“Kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal. Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak kerajaan China.

“Kerajaan juga ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkenaan novel koronavirus ini yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, satu lagi kes yang disahkan dijangkiti koronavirus malam tadi, menjadikan jumlah individu disahkan positif 2019-nCoV kepada empat setakat ini.

Kes terbaharu itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak, yang mendesak kerajaan supaya menyekat sementara kemasukan pelancong China ke negara ini sehingga wabak berkenaan pulih.

Setakat awal pagi hari ini, angka korban akibat wabak koronavirus di China meningkat kepada 80 orang.

South China Morning Post yang memetik pihak berkuasa kesihatan China sebagai berkata, kes jangkitan koronavirus pula meningkat kepada 2,400 orang.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close