Berita PilihanBerita UtamaUtama

Kanak-kanak 2 tahun maut ditikam bapa saudara

Ditikam di bahagian dada ketika mangsa bermain di dalam rumah

KEMAMAN, 2 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Seorang kanak-kanak perempuan maut dipercayai ditikam bapa saudaranya di Felda Cerul 2 di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa, Nur Hafiya Aufa Mohd Taquddin, 2, ditikam di bahagian dada oleh Mohd Safuan Ramli, 26, ketika mangsa sedang bermain di dalam rumah kira-kira pada pukul 1 tengah hari.

“Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Klinik Kesihatan Cheneh sebelum disahkan meninggal dunia. Mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan dikatakan tinggal bersama datuk dan neneknya di rumah yang sama dengan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hanyan, suspek kemudiannya berjaya ditangkap oleh jiran di kawasan berdekatan rumah mereka pada pukul 1.30 tengah hari dan diserahkan kepada polis.

“Suspek sebelum ini pernah mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan pihak polis tidak menolak kemungkinan ketika kejadian suspek berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close