Berita UtamaUtama

Jangan ambil kesempatan naikkan harga topeng muka

KPDNHEP kerah 2,300 pegawai pantau peniaga sejak 25 Januari

BANGI, 2 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah di dalam situasi orang ramai memakainya, sebagai langkah pencegahan dari wabak novel coronavirus (2019-nCoV) di negara ini.

Atas sebab itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menjalankan pemantauan berterusan dengan mengarahkan 2,300 pegawai penguatkuasa untuk membuat pemeriksaan seluruh negara sejak 25 Januari lalu.

Ketua Setiausaha KPDHNEP, Datuk Muez Abdul Aziz berkata, tindakan tegas itu adalah melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata, melalui kawalan harga di bawah akta berkenaan, harga maksimum borong dan runcit bagi lima jenis topeng muka adalah bermula 20 sen seunit hingga RM100 sekotak.

“Perlu diingatkan juga, bagi jenis topeng muka selain daripada lima jenis yang ditetapkan harga maksimumnya, kementerian masih mempunyai kuasa mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (bagi sebarang pelakuan menaikkan harga borang atau runcing topeng muka secara tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebarang pelanggaran akan berdepan tindakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu.

Denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 bagi mana-mana syarikat yang melanggar peruntukan berkenaan, katanya.

“Pihak kementerian memohon kerjasama dan perhatian pihak yang terlibat dalam pembekalan dan penjualan topeng muka agar membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum topeng muka yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close