KolumnisUstaz Zamri bin HashimUtama

Haram popularkan maksiat!

Pemimpin enggan tegakkan hukum Allah, kesulitan berlaku sesama mereka

1. ISLAM mengharamkan umatnya menyebarkan kemungkaran dan kemaksiatan sama ada melalui ungkapan, perbuatan mahupun penulisannya.

2. Media sosial yang ada pada hari ini lebih merancakkan lagi penyebaran ini dengan skala yang lebih luas dan lebih pantas tempoh yang diambil.

3. Contoh-contoh penyebaran kemungkaran yang sering berlaku di media-media sosial adalah seperti menyebarkan berita -berita palsu, menulis mahupun berkongsi sebar isu-isu yang bercanggah dengan Islam atau yang mengelirukan umat Islam, berkongsi gambar-gambar yang tidak menutup aurat, menyiarkan propaganda yang mengelirukan dan sebagainya.

4. Allah SWT menerusi Ayat 19 surah Al Nur memberi amaran kepada penyebar-penyebar kemungkaran ini dengan firmanNya:”…dan orang-orang yang suka untuk disensasikan berita-berita jijik di kalangan orang-orang beriman, balasan bagi mereka ialah azab yang pedih di dunia dan di akhirat nanti. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.

5. Tanggungjawab orang yang menyebarkan dalam apa jua bentuk sama ada berkongsi siar mahupun menyiarkannya akan menanggung dosa berganda seperti yang diulas oleh tafsir Al Sa’di ketika memberi komentar terhadap Ayat 13 surah Al Ankabut bermaksud: … nescaya mereka akan menanggung bebanan dosa mereka sendiri di samping mereka akan menanggung dosa orang lain. 

Mereka akan dipersoalkan nanti pada hari kiamat kelak terhadap apa yang mereka dusta dan ada-adakan. Al Sa’di berkata dosa orang yang lain yang terpaksa ditanggung juga itu adalah kerana ia menjadi penyebab atau pemula kepada dosa itu menjadi popular dan berkembang.

6. Di dalam hadis riwayat Ibnu Majah, Rasulullah SAW menyenaraikan balasan-balasan di dunia sebelum akhirat yang akan ditanggung oleh bukan sahaja pelaku-pelaku maksiat bahkan ia akan melibatkan bukan pelaku-pelaku maksiat apabila tiada pihak yang menegur dan menghalangnya.

Daripada Abdullah bin Umar r.a, Rasulullah SAW menghadapkan wajah Baginda kepada kami dan bersabda: Wahai golongan Muhajirin, LIMA perkara kalian akan diuji dengannya, dan aku memohon perlindungan dari Allah agar tidak mengalami ujian getir itu. 

Jika kekejian sudah popular di kalangan masyarakat, bahkan mereka melakukannya secara terang-terangan, nescaya Allah akan uji dengan penyakit taun dan kebuluran yang belum pernah berlaku sebelum ini. 

Jika suasana perniagaan penuh dengan ketidakjujuran seperti khianat di dalam ukuran dan timbangan, mereka akan derita dengan kemarau yang berpanjangan dan corak pemerintahan yang zalim di kalangan penguasa. 

Jika masyarakat enggan dan liat dari menunaikan zakat maka langit akan berhenti menitiskan air hujan. Kalau bukan kerana haiwan-haiwan ternakan, nescaya hujan tidak akan turun-turun. 

Jika mereka mungkir terhadap janji-janji mereka kepada Allah dan Rasulnya maka Allah akan menjadikan mereka dikuasai oleh musuh-musuh mereka dan sebahagian dari kuasa mereka akan dirampas oleh musuh-musuh mereka.

Kalau pemimpin mereka enggan menegakkan hukum mengikut piawai ketetapan Allah dan memilih-memilih hukum hakam Allah, maka Allah akan merasakan kesusahan dan kesulitan akan berlaku sesama mereka.

7. Di dalam sunan al Tirmizi direkodkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: akan terjadi nanti kepada umat aku ini bencana gempa bumi, fenomena pertukaran wajah dan ribut yang menghempas bumi. 

Seorang lelaki bertanya: Bila akan berlaku wahai Rasulullah SAW? Baginda SAW menjawab: Apabila muncul secara terang-terangan penyanyi-penyanyi wanita, alat-alat muzik dan acara meminum arak.

Sahibus Samahah Dato Hj Zamri Hashim

Timbalan Mufti Perak

Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close