Berita UtamaUtama

Coronavirus: Tak mudah hasil antivirus dalam masa terdekat

Nelfivanir hanya bertindak kurangkan virus dalam badan pesakit

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 2 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Tidak mudah untuk saintis menghasilkan antivirus bagi memulihkan jangkitan wabak misteri dari Wuhan, novel coronavirus (2019-nCoV) yang telah mengorbankan lebih 80 nyawa setakat hari ini.

Pengerusi Unit Kesihatan Awam Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (iMedik), Dr Mohd Ihsanuddin Abas berkata, setiap penghasilan antivirus memerlukan pengkajian lengkap dan mengambil tempoh yang panjang, apatah lagi wabak itu baru berlaku pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata, mustahil untuk saintis menemukan antivirus dalam masa terdekat, sedangkan dua wabak bahaya seperti sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) juga belum ditemukan sehingga kini.

“Dalam mengkaji antivirus, saintis perlu tentukan terlebih dahulu apakah punca wabak berkenaan, sama ada dari haiwan atau sebaliknya dan bagaimana ia merebak.

“Kalau lihat coronavirus ini, ia bukanlah benda baharu. WHO telah belajar daripada SARS dan MERS-CoV yang sehingga hari ini, masih belum ada antivirus serta vaksin khusus untuk kedua-dua wabak itu,” katanya dalam temu bual Cakap Serupa Bikin di TV Pertiwi, malam ini.

Dr Mohd Ihsanuddin menjelaskan, dos yang ditularkan dikenali sebagai Nelfivanir bukanlah antivirus khusus kepada novel coronavirus, sebaliknya hanya bertindak mengurangkan virus dalam badan pesakit.

“Pakar perubatan dan doktor memberikan antivirus lain yang digunakan untuk pesakit HIV. Tetapi, ia bukan antivirus kepada coronavirus, tetapi untuk mengurangkan jumlah virus dalam badan pesakit sahaja.

“Bagaimanapun doktor mencuba, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko jumlah orang yang akan dijangkiti,” katanya.

Mengulas tindakan China mewujudkan hospital tambahan khusus untuk menampung jumlah kes jangkitan, Dr Mohd Ihsanuddin berkata, walaupun ia satu tindakan yang baik, kerajaan negara itu sewajarnya mengutamakan dahulu langkah pencegahan awal supaya wabak seumpama ini tidak berlaku.

“Kita faham, pembinaan hospital tambahan itu adalah kerana China belajar daripada kes sebelum ini membabit SARS, di mana jangkaan jangkitan dan kematian akan bertambah.

“Bagaimanapun, saya lebih suka kepada langkah pencegahan awal. Jika ia adalah budaya masyarakat, maka mereka perlu berubah dari sudut makanan dan gaya hidup,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close