Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

Coronavirus: Angka kematian meningkat kepada 81 di Hubei

Catat 2,744 kes, 769 terkena jangkitan manakala 461 lagi kritikal

BEIJING, 2 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Angka kematian akibat wabak novel coronavirus (2019-nCoV) melonjak kepada 81 orang di wilayah Hubei.

Kerajaan China hari ini dilaporkan berkata, sebelum ini sebanyak 24 orang
maut menjadikan peningkatan seramai 57 orang.

Sementara itu, jumlah kes yang disahkan di seluruh negara meningkat dengan mendadak kepada 2,744, selain kematian pertama dilaporkan di wilayah Hainan – seorang wanita berusia 80 tahun.

Pada masa sama, Suruhanjaya Kesihatan Negara berkata, seramai 769 telah terkena jangkitan wabak berkenaan, manakala 461 darinya berada dalam keadaan kritikal.

China telah menutup jalan di wilayah Hubei – satu operasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini – memberi kesan kepada puluhan juta rakyat, bertujuan untuk memperlahankan penyebaran virus itu.

Kabinet pula mengumumkan perayaan Tahun Baru Cina – diraikan pada hari Ahad walaupun tarikhnya jatuh pada hari Jumaat, bertujuan mengurangkan kesesakan dan menghalang penyebaran wabak.

Malah, sesi persekolahan juga terpaksa ditangguhkan sehingga notis diberitahu.

Kes-kes wabak coronavirus itu juga telah tersebar dan disahkan di wilayah separuh autonomi Macau dan Hong Kong, di mana kerajaan menjadikan kem percutian sebagai pusat kuarantin.

Selain itu, Korea Selatan juga mengesahkan kes keempat wabak berkenaan hari ini.

Turut terkesan dengan wabak dari Wuhan itu adalah Malaysia, Thailand, Taiwan, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Vietnam, Singapura, Nepal, Perancis, Kanada dan Australia.

AS telah mengesahkan kes penyebaran wabak itu di Washington, Chicago, selatan California dan Arizona.

Punca wabak coronavirus yang tidak diketahui sebelum ini telah mengakibatkan kebimbangan masyarakat global berikutan mempunyai persamaan dengan patogen Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang berasal dari China pada tahun 2002.

SARS telah membunuh beratus-ratus orang bukan sahaja di tanah besar China, malah di negara-negara serata dunia.

Selain itu, sekatan perjalanan drastik telah dikenakan di luar pusat gempa, iaitu di wilayah Shandong dan empat bandar -Beijing, Shanghai, Xian dan Tianjin – selain mengharamkan perjalanan keluar masuk bas persiaran.

Difahamkan, wabak coronavirus berasal dari pasar makanan laut, yang juga menjual haiwan liar di ibu kota Wuhan dan Hubei menjelang akhir tahun lepas. -Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close