Berita PilihanDr Ridhuan Tee AbdullahKolumnisUtama

21 sebab kenapa Tun M masih perlu kekal PM penuh sepenggal

Tak perlu hirau desakan ultra kiasu, selagi ada kekuatan beliau layak

ARTIKEL ini tidak bertujuan untuk mengipas atau membodek Tun M. Sekadar untuk merasionalkan kenapa Tun M, perlu dikekalkan sebagai perdana menteri untuk sepenggal penuh, sehingga terjumpa perdana menteri yang paling layak untuk menggantikannya.

Bukan tidak ada calon yang layak untuk menggantikan Tun M. Khalifah Allah tetap ada di mana-mana. Tetapi buat saat dan ketika ini, belum masa yang sesuai untuk sesiapapun menggantikan Tun M. Pemimpin dalam PH, ‘belum’ boleh diharap untuk memimpin kerajaan Malaysia. Bahaya kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam Islam, proses mencari pemimpin negara bukan boleh dibuat main-main. Jika tidak dapat yang paling ideal, sekurang-kurang pemimpin yang tidak menimbulkan mudarat kepada agama, bangsa dan negara.

Pemimpin yang mesti memahami asal-usul negara dan bangsa, bertindak berpaksikan Perlembagaan, menjunjung agenda negara seperti Islam, Melayu, Bumiputera, bahasa Melayu, raja-raja Melayu, hak minoriti dan sebagainya. Pada hemat saya, Tun M ada semangat dan ciri-ciri itu, meskipun tidak sepenuhnya.

Tidak kurang pentingnya, berani berhadapan dengan ultra kiasu yang begitu celupar dan kurang ajar pada hari ini. Bagi yang kurang ultra kiasu, jagalah mereka dengan baik.

Kenapa Tun M perlu dikekalkan sebagai PM sepenggal?

1. Tun M adalah negarawan ulung berpengalaman luas sebagai ketua kerajaan. Dua kali menjadi perdana menteri. Paling berusia. Rekod dunia yang sukar dipecahkan. Pada usia sebegini, saya yakin, Tun M masih mampu bertindak melindungi kepentingan agama, bangsa dan negara, meskipun tidak sepenuhnya.

Desakan demi desakan telah, sedang dan akan terus dilakukan oleh ultra kiasu untuk Tun M melepaskan jawatannya, berasaskan janji manifesto. Tetapi Tun M tetap bertahan dan tetap kuat. Teruskan Tun M sehingga ada pengganti sesuai demi Malaysia tercinta.

2. Tun M mendapat pengiktirafan global apabila dinobatkan sebagai tokoh berpengaruh dunia. Januari 2019, beliau dinobatkan sebagai Lelaki Muslim Paling Berpengaruh Dunia 2019, oleh penerbitan The Muslim 500. Ini sekali gus mengetuai senarai 500 lelaki Islam paling berpengaruh di dunia. Negara-negara Islam meletakkan kepercayaan penuh kepada Tun M.

Lihat sahaja apa reaksi dunia, ketika KL Summit baru-baru ini berlangsung. Sudah jelas menunjukkan betapa negara-negara musuh Islam dan musuh-musuh Islam dalam negara begitu lantang mengkritik Tun M kerana begitu lantang menyuara hak-hak orang Islam dan negara-negara Islam yang mesti dihormati. Misalnya, umat Islam di Kashmir, India.

Sehingga ini begitu lantang menentang pencerobohan Israel di bumi Palestin.

Sebelum itu, menentang pencerobohan Amerika Syarikat di negara-negara Arab dan negara-negara Islam yang lain seperti Iraq, Afghanistan dan sebagainya.
Tun M juga pernah menjadi pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Banyak mengaturkan strategi penyatuan negara-negara Arab daripada terus dicengkam pengaruh Amerika Syarikat dan Israel.

Pendek kata, kejayaan Tun M mentranformasikan Malaysia dari sebuah negara dunia ketiga menjadi negara membangun menarik minat negara-negara Asia Barat untuk mencontohi kepemimpinan politik beliau. Malah, negara-negara Asia Timur juga menjadikan beliau sebagai insan contoh dalam memperkasa politik dan ekonomi negara-negara tersebut

3. Jika Tun M disanjung dan dipuji oleh pemimin-pemimpin negara Islam dan negara-negara sedang membangun, itu mungkin perkara biasa bagi sesetengah pihak. Namun, di peringkat antarabangsa tidak kurang hebatnya. Pada Mei 2019, Tun M dinamakan pula sebagai 50 Tokoh Dunia Paling Berpengaruh 2019 oleh portal antarabangsa, Fortune.com.

Pada April 2019, Tun M disenaraikan antara 100 individu paling berpengaruh di dunia 2019 oleh majalah berita antarabangsa, TIME. Tahun lalu, Maharaja Jepun, Akihito menyampaikan darjah kebesaran ‘The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers’ kepada Tun M. Anugerah darjah kebesaran tertinggi Jepun. Pengiktirafan sumbangan besar perdana menteri alam memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Jepun.

Tun M turut menerima cenderahati berupa sehelai jersi pasukan bola sepak Jepun bernombor tujuh sempena beliau yang merupakan Perdana Menteri Ketujuh Malaysia dari rakan sejawatnya Shinzo Abe sebelum ini.

4. Tun M lantang menentang sikap double standard dan ketidakadilan dunia kepada negara-negara sedang membangun. Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 di New York sebelum ini, Tun M begitu lantang mengulangi pendirian agar pembaharuan dilakukan badan dunia itu. Mencadangkan supaya kuasa veto dimiliki oleh sekurang-kurangnya dua negara kuasa besar dengan disokong oleh tiga anggota bukan tetap Majlis Keselamatan PBB.

Tun M turut menarik perhatian pelbagai organisasi dunia apabila berani menempelak kerajaan Myanmar berikutan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Rakhine. Selain itu, begitu lantang mencadangkan kepada dunia (PBB) supaya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bangsa. Pada masa sama, menyeru PBB agar menghentikan tindakan Israel daripada mencabuli undang-undang antarabangsa sehingga ke hari ini.

5. Ketika menjadi PM keempat, Tun M dikenang dan diingati sebagai pemimpin Malaysia yang banyak menyalurkan bantuan kepada Bosnia dan Herzegovina ketika negara Balkan itu dilanda peperangan pada 1990-an selain terus memberi sumbangan dalam membangunkan semula negara tersebut.

6. Kejayaan Tun M menyatukan negara-negara membangun dan negara dunia ketiga menerusi Majlis Perundingan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) serta mencetus penyatuan kerjasama negara-negara dunia ketiga dan negara-negara Islam menerusi OIC membuatkan beliau diangkat sebagai pemimpin dunia yang disegani dan cemerlang dalam arena politik antarabangsa.

7. Tun M menubuhkan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur bagi ‘membicarakan’ pemimpin negara-negara yang terlibat dengan jenayah perang di Iraq pada 2003 yang menyebabkan lebih 1.4 juta orang awam terkorban.

8. Tun M berjaya menerajui gabungan parti pembangkang, Pakatan Harapan, untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Mei 2018, sekali gus dilantik semula sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh. Bukan suatu perkara mudah untuk menumbangkan suatu rejim yang begitu lama dan berpengaruh, tetapi Tun M berjaya melakukannya, dengan gaya tersendiri.

9. Dengan penampilan sederhana dan tenang, Tun M amat disegani ramai dan dipandang tinggi sebagai pemimpin berwibawa yang mempunyai daya pemikiran tajam serta sentiasa melontarkan teguran bernas.

10. Dalam negara, Tun M dikenali ramai sebagai perdana menteri yang berdedikasi, berprinsip teguh dan sentiasa melakukan reformasi dan transformasi dalam pentadbiran negara.

Mengenali Tun M dalam kepemimpin PERKIM, disiplin yang tinggi terutamanya dari segi ketepatan waktu, menjadikan beliau pemimpin disegani. Tun M dianggap sebagai pemimpin pencetus reformasi dan transformasi pentadbiran negara sejak kali pertama menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini.

11. Sifat sederhana Tun M dalam menyantuni budaya politik dengan kepentingan rakyat menjadikan rakyat begitu tersentuh dengan kesungguhannya mentransformasikan Malaysia dari sebuah negara dunia ketiga kepada negara membangun yang berjaya.

12. Tun M mempunyai wawasan jauh dalam merencanakan Malaysia agar terus maju dalam bidang ekonomi dan sosial. Meskipun Wawasan 2020 tidak tercapai sepenuhnya, sekurang-kurangnya Tun M telah berjaya meletakkan satu tempoh waktu untuk pemimpin yang menggantikannya, berusaha ke arah itu.

13. Semasa kepemimpinan Tun M sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003, Malaysia mengalami transformasi hebat terutama dalam pembangunan dan sosioekonomi serta memacu kejayaan negara menjadi kuasa ekonomi serantau selain berjaya memimpin negara mendepani beberapa krisis kewangan dunia.

14. Kesungguhan idea dan pemikiran Tun M dalam pembangunan negara dan ekonomi khususnya semasa membebaskan Malaysia daripada terjerumus dalam krisis ekonomi sekitar 1997 hingga 1998 dengan memperkenalkan penggantungan ringgit di pasaran antarabangsa, berjaya menyelamatkan negara dan menarik perhatian banyak negara lain.

15. Daya tahan yang kuat. Keberanian Tun M menghadiri dan memberi ucapan dalam Kongres Maruah Melayu. Tun M tahu ia akan mendapat kecaman dari ultra kiasu, tetapi Tun M teruskan juga. Walaupun ucapan Tun M tidak banyak memihak kepada Islam dan Melayu, tetapi keberaniannya berhadapan dengan ultra kiasu patut dipuji. Saya tidak fikirkan pemimpin Melayu lain berani.

16. Daripada perspektif NGO, Tun M mesra NGO. Saya masih belum nampak Tun M menyekat kebebasan hak dan suara NGO. Sekian lama dalam PERKIM bersama Tun M, kami tetap bebas bersuara walaupun kadangkala bertentangan dengan pendapat Tun M.

17. Tindakan Tun M yang sukar diramal yang menakutkan ultra kiasu. Tidak mustahil Tun M akan bertindak seperti Presiden Indonesia, Jokowi. Membawa masuk musuh politiknya ke dalam Kabinet. Keberanian Jokowi membawa seterunya, Prabowo dilantik menjadi menteri pertahanan, satu tindakan yang tidak dijangka. Tidak mustahil, Tun M bertindak melantik wakil rakyat luar PH menyertai Kabinet, terutama dalam mengisi kekosongan jawatan menteri.

Tindakan seperti begitu sangat menakutkan ultra kiasu. Buat masa ini, tindakan sebegini perlu dilakukan bagi mengajar ultra kiasu yang sangat komunis sifatnya. Sebenarnya, masih banyak lagi hujah yang boleh disenaraikan.

18. Dalam usia sebegini, Tun M tidak sepatutnya bekerja keras lagi. Tidak perlu fikir tentang masalah negara yang memeningkan dan akan ‘memendekkan umur. Cukup dengan duduk rumah dan bermain dengan anak cucu. Tetapi Tun M memilih untuk bekerja keras seperti mana ucapan-ucapannya yang terdahulu, yang mahukan anak bangsa bekerja keras untuk maju. Inilah contoh ‘terbaik’ untuk anak-anak muda pewaris bangsa.

19. Kewajipan menimba ilmu pengetahuan tanpa jemu dan peka kepada perubahan melalui pembelajaran sepanjang hayat. Tun M pernah berkata, kita perlu peka kepada perubahan dan menyesuaikan diri, jika tidak mahu ketinggalan.

Pembelajaran sepanjang hayat bagi Tun M adalah, apabila kita semakin berpengalaman, kita mungkin ingat kita sudah tahu segala-galanya. Tidak lagi bercakap tentang perubahan dalam tempoh beberapa tahun atau dekad, tetapi sekadar dalam beberapa bulan. Ini tidak cukup bagi Tun M.

Paling penting bagi Tun M adalah mengamalkan pendirian terbuka serta menangani cabaran dan peluang dengan minda ingin tahu. Beginilah caranya untuk kita menambah pengetahuan dan bergerak mengikut perubahan masa.

20. Kerendahan hati Tun M dalam menyantuni rakyat. Tun M pernah berkata kerendahan hati tidak melemahkan seseorang pemimpin, tetapi mendekatkannya dengan rakyat, rakyat yang menyokongnya dan yang memilihnya sebagai pemimpin. Jika seseorang pemimpin hilang ikatan dengan rakyat dan penyokongnya, maka seseorang itu tidak layak bergelar pemimpin.

21. Kepemimpinan melalui teladan, slogan Tun M yang pernah menjadi dasar kerajaan ketika menjadi PM keempat diterjemahkan semula apabila menjadi PM ketujuh.

Kata Tun M, pemimpin biasanya adalah pembicara yang berkesan, pandai berucap dalam cara yang meyakinkan. Namun, Tun M berpegang kepada prinsip bahawa budi bicara hidup jauh lebih kuat kesannya daripada kata-kata yang diungkapkan.

Cakap itu mudah dan murah. Semua boleh berbicara tentang apa yang dimahukan. Kita boleh merungkai visi, tujuan dan matlamat. Tetapi ujian akhir bagi seseorang pemimpin adalah tindak tanduknya. Adakah boleh dicontohi?

Sekali lagi Tun M membawa slogan yang pernah dilaungkan menjadi dasar kerajaan, dibuktikan hari ini dalam gaya kepemimpinannya yang luar biasa.

Cukuplah setakat ini dahulu. Setakat ini Tun M paling layak menerajui kerajaan. Sebagai manusia biasa, Tun M juga tidak dapat lari daripada kelemahan dan salah silap.

Tun M tidak perlu hiraukan desakan dan keghairahan ultra kiasu agar tempoh Tun M dipendekkan sehingga Mei 2020. Pada hemat saya, selagi Tun M ada kekuatan, tajam pemikirannya, selagi itulah Tun M layak untuk meneruskan legasi kepemimpinan.

Saya memahami Tun M amat mementing bahasa Inggeris dalam menjadikan Malaysia menuju menjadi sebuah negara maju. Apapun keputusan yang dibuat, pastikan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan tidak terpinggir. BM adalah adalah bahasa negara, bahasa perpaduan.

Ultra kiasu mesti dipaksakan untuk fasih BM sebelum layak bergelar warganegara. Tindakan mesti diambil terhadap mereka yang mencabuli Perlembagaan negara dan agenda nasional. Marilah kita doakan agar Tun M diberikan kesihatan dan umur yang panjang untuk memimpin Malaysia menuju kecemerlangan demi agama, bangsa dan negara,

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close