Berita UtamaUtama

Malaysia berhak tentu polisi terhadap pelancong China

Desakan sekat kemasukan bukan bersifat politik, demi keselamatan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Jamadilakhir 1441H, Ahad – Malaysia berhak menentukan polisi bagi menyekat atau menghantar pulang pelancong China dalam usaha menangani penyebaran wabak koronavirus (2019-nCoV) di negara ini.

Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, kerajaan sepatutnya mengambil langkah drastik dalam menentukan polisi untuk menangani wabak itu, tanpa perlu menunggu arahan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Memandangkan Malaysia mempunyai hubungan rapat dengan China, beliau berkata, langkah sekatan sementara itu wajar, sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan rakyat.

“Beberapa negara lain sudah mengetatkan pintu masuk negara mereka, tetapi Malaysia bertindak sebaliknya. Di tambah pula dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan pengecualian visa, lagilah kerajaan perlu menyekat sementara warga China ke negara ini.

“Desakan menyekat kemasukan pelancong dari negara itu bukanlah bersifat politik atau rasis, sebaliknya lebih menumpukan keselamatan rakyat di Malaysia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu lagi kes yang disahkan dijangkiti koronavirus malam tadi, menjadikan jumlah individu disahkan positif 2019-nCoV kepada empat setakat ini.

Kes terbaharu itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak, yang mendesak kerajaan supaya menyekat sementara kemasukan pelancong China ke negara ini sehingga wabak berkenaan pulih.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media semalam berkata, kerajaan tiada rancangan untuk melarang pelancong China memasuki negara.

Mengulas lanjut, Dr Rafidah Hanim berkata, beliau percaya keputusan yang dibuat kerajaan ketika ini adalah kerana mengambil kira sektor pelancongan yang mungkin terjejas jika sekatan berkenaan dilaksanakan.

“Isunya adalah Kementerian Pelancongan dan individu tertentu yang akan pertimbangkan impak ekonomi jika negara melaksanakan sekatan seumpama itu.

“Malangnya, dari segi kesihatan, impak ekonomi lebih besar berlaku jika kerajaan biarkan rakyat terdedah kepada penyakit yang sukar dikawal, di tambah dengan penggunaan ICU serta bekalan ubat-ubatan nanti. Lebih baik mencegah daripada merawat,” katanya.

Beliau berkata, sekatan ini hanyalah bersifat sementara sehingga China dapat mengawal wabak berkenaan, apatah lagi pengkaji masih belum menemukan punca dan penawarnya.

“Pandangan saya, kerajaan perlu ambil langkah tegas daripada sekarang seperti mana yang dilakukan beberapa negara lain. Negara lain yang tidak ada kempen melawat negara mereka serta masih mengenakan visa ketat pada warga China pun mengambil langkah bijak bagi menangani wabak itu.

“Apatah lagi Malaysia yang sangat mudah menerima kemasukan warga China, sepatutnya lebih mengetatkan pintu masuk negara demi keselamatan rakyat,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close