Berita UtamaUtama

Langkah tak terima pelancong China bertepatan saranan Rasulullah

Malaysia berhak kawal wabak daripada terus merebak

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Jamadilakhir 1441H, Ahad – Kerajaan diminta mempertimbangkan langkah untuk tidak menerima kemasukan pelancong dari China – yang dikenal pasti sebagai punca penularan wabak koronavirus (2019-nCoV), kata Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Beliau berkata, langkah itu juga bertepatan dengan saranan Rasulullah ﷺ yang melarang umatnya memasuki atau meninggalkan jika berada di suatu tempat ditimpa wabak.

Di samping menggalakkan semua umat Islam melakukan solat hajat, beliau berkata, saranan Rasulullah ﷺ iaitu kuarantin negara yang ditimpa wabak daripada masuk ke negara ini juga perlu diambil kira sebagai langkah pencegahan.

“Saranan mengadakan solat hajat dan membaca doa-doa yang ma’thur adalah sangat perlu di dalam menghadapi situasi yang semakin merisaukan masyarakat.

“Di samping solat hajat, ada satu lagi unsur penting lain yang disaran oleh Nabi Muhammad ﷺ iaitu kuarantin negara ini daripada dimasuki rakyat yang menjadi punca kepada wabak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu lagi kes yang disahkan dijangkiti koronavirus malam tadi, menjadikan jumlah individu disahkan positif 2019-nCoV kepada empat setakat ini.

Kes terbaharu itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak, yang mendesak kerajaan supaya menyekat sementara kemasukan pelancong China ke negara ini sehingga wabak berkenaan pulih.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media semalam berkata, kerajaan tiada rancangan untuk melarang pelancong China memasuki negara.

Buat masa sekarang, kerajaan hanya akan menjalankan saringan ke atas penumpang dan pelancong yang tiba di negara ini, kata Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamri yang juga Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata, jika China tidak melarang rakyatnya berkunjung ke negara ini, maka Malaysia berhak mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengawal wabak itu daripada merebak.

“Dalam menghadapi wabak koronavirus di seluruh dunia, Islam mempunyai panduan yang perlu dijadikan panduan setiap muslim di negara ini, bahkan ia sesuai kepada semua penduduk.

“Dalam masa sama, semua penduduk negara ini wajib mengikuti panduan kesihatan dan kawalan penularan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close