Berita UtamaPendapatUtama

Koronavirus: Sains Virologi, 7 Pengajaran buat Islam

Hanya prophylaxis guna vaksin, therapeutic guna ubatan antiviral

SATU wabak jangkitan baru yang selama ini tidak diketahui oleh Sains – kini telah menyebabkan penyakit jangkitan akut paru-paru (pneumonia) di negara China dan telah mula tersebar ke negara-negara lain.

Setakat ini, lebih kurang 41 orang telah diketahui meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan koronavirus nobel baru ini.

Kebanyakannya telah banyak berlaku di sebuah bandar China, iaitu Wuhan yang berpopulasi sekitar 11 juta rakyat bermula pada bulan Disember lepas. 

Sekitar lebih daripada 800 kes telah terbukti terkena jangkitan ini dan jumlah ini dijangka semakin meningkat dari masa ke masa.

Teori Kemunculan Koronavirus Nobel

Koronavirus baru ini dianggap nobel (unik) kerana ianya bukan virus asal menghuni dalam persekitaran manusia tetapi saintis percaya ianya kemungkinan besar berasal daripada koronavirus yang menjangkiti haiwan.

Tambahan lagi, melalui persamaan analisis terhadap susunan protein koronavirus itu, saintis mendapati koronavirus ini kemungkinan besar berasal daripada ular.

Namun, terdapat segelintir para saintis tidak begitu bersetuju dengan dapatan ini kerana ianya tidak mampu menjelaskan bagaimana virus itu dapat melompat daripada haiwan reptilia (berdarah sejuk) kepada manusia yang berdarah panas.

Terdapat beberapa teori yang boleh dispekulasikan dalam hal ini. 

Pertama, koronavirus tersebut mungkin memang telah berasal daripada ular tetapi telah mengalami proses mutasi dan telah ‘bergabung’ dengan koronavirus yang berasal daripada haiwan lain, lalu menghasilkan koronavirus yang baru dan memiliki kelebihan untuk menyerang sel manusia.

Teori yang kedua, coronavirus ini mungkin juga telah melompat terlebih dahulu ke haiwan mamalia, iaitu hos pengantara, berevolusi sebelum melompat kepada manusia. 

Buat masa sekarang, agak sukar untuk menentukan teori mana yang tepat memandangkan kebanyakan haiwan di pasar-pasar Wuhan telah pun dihapuskan oleh pihak berkuasa. 

Pada pandangan penulis, teori yang kedua adalah lebih relevan memandangkan koronavirus nobel baru-baru ini juga memiliki perkaitan rapat dengan koronavirus penyebab kepada (severe acute respiratory syndrome) SARS dan (middle east respiratory syndrome) MERS dulu.

Kedua-dua koronavirus penyebab SARS dan MERS berpunca daripada kelawar, namun masing-masing melibatkan hos pengantara iaitu sejenis kucing liar (Civet) dan unta (lihat gambar rajah).

 

Kenapa hanya sekarang koronavirus nobel ini muncul?

Persoalan ini selalu diutarakan oleh mereka yang skeptikal dengan realiti yang berlaku.

Ada benarnya untuk memiliki sikap skeptikal demikian. Kenapa hanya baru sekarang ianya muncul?

Sedangkan kewujudan aktiviti memakan haiwan eksotik di China telah lama berlaku?

Jawapannya ialah kemampuan untuk koronavirus ini melompat ke manusia bergantung kepada kebolehannya berevolusi dan bermutasi. 

Untuk berevolusi dan mutasi, virus dari jenis ini perlu melalui proses rekombinasi genetik dan ianya hanya boleh berlaku jika koronavirus nobel ini menjangkiti sesuatu hos bersama jangkitan koronavirus dari jenis yang lain. 

Kedua-dua faktor genetik daripada kedua-dua jenis ini kemudiannya mampu bergabung menghasilkan koronavirus jenis baru.

Maka, proses ini benar-benar memerlukan aktiviti percampuran pelbagai hos (haiwan-haiwan dan manusia). 

Namun begitu, kebarangkalian untuk terhasil sesuatu virus yang efisien terhadap sistem manusia juga tidak semudah itu.

Ianya sudah pasti memerlukan aktiviti percampuran antara haiwan liar dan manusia dengan kadar yang rancak (lama dan berterusan).

Sekali imbas, mungkin agak mustahil proses ini boleh berlaku dalam suasana di negara kita, malangnya, aktiviti percampuran pelbagai jenis hos yang rancak ini benar-benar berlaku di sekitar pasar-pasar di Wuhan secara ekstrim.

Pelbagai jenis haiwan liar dicampurkan dengan begitu dekat dan tiada seliaan daripada pihak berkuasa.

Rakaman video yang viral di laman sesawang menunjukkan pada satu-satu masa dan tempat, contohnya, pelbagai haiwan liar seperti itik, ayam, kucing, musang dan babi telah ditempatkan begitu dekat sekali – sudah tentu merancakkan lagi proses lompatan dan mutasi virus-virus ini.

Mungkin tertanya-tanya, kenapa pula proses ini tidak berlaku di tempat pengumpulan haiwan lain-lain seperti zoo? 

Jawapannya, di zoo, percampuran secara langsung tidak berlaku. Haiwan-haiwan liar diasingkan dan ditempatkan jauh sesama sendiri.

Jadi proses lompatan virus tidak berlaku dengan rancak. Faktor kebersihan dan kesihatan haiwan juga dikawal rapai oleh penjaga zoo.

Adakah koronavirus nobel ini berbahaya?

Setakat ini, peratusan kematian daripada jumlah kes yang dicatatkan ialah sekitar dua hingga 3 peratus, iaitu agak rendah berbanding dengan jangkitan SARS pada tahun 2003 lalu yang mencatatkan sekitar 10 peratus kadar kematian.

Walaupun lebih rendah, peratusan itu tidak boleh terlalu digunapakai pada masa sekarang kerana ianya masih awal untuk meramalkan keseluruhan jangkitan. 

Koronavirus nobel ini tidak mustahil untuk mendapatkan momentum lebih tinggi dalam menyebarkan jangkitan dari manusia ke manusia disebabkan proses adaptasi dan mutasi yang berlaku.

Lebih merisaukan, sesetengah pesakit didapati tidak memiliki sebarang gejala demam – menyebabkan usaha mengenal pasti dan kuarantin agak sukar dilakukan.

Kebanyakan kematian pada ketika ini melibatkan golongan tua yang memiliki daya tahan imun sistem yang rendah.

Namun demikian, analisis terhadap 41 pesakit pertama yang dijangkiti koronavirus ini mendapati koronavirus nobel baru ini bertindak seperti SARS dan MERS. 

Seperti kedua-dua wabak itu, koronavirus baru ini juga menyebabkan jangkitan paru-paru atau dalam bahasa klinikalnya ialah pneumonia.

Berbanding dengan SARS dan MERS, koronavirus baru ini jarang menghasilkan simtom selsema dan simptom-simptom berkaitan usus (intestinal symtoms). 

Jangkitan wabak baru ini bermula dengan kemunculan simtom demam panas, batuk-batuk dan lemah badan. 

Simptom-simptom ini kemudiannya berlipat ganda secara mendadak, dan biasanya pesakit akan mula mengadu dan hadir ke pihak hospital dengan sindrom akut pernafasan (acute respiratory disease syndrome, ARDS).

Sejauh manakah berjangkitnya koronavirus nobel ini?

Kedua-dua jangkitan koronavirus yang menyebabkan SARS dan MERS, masing-masing tidak menunjukkan kemampuan bermandiri yang setanding dengan virus penyebab influenza. 

Namun demikian, memandangkan keluarga koronavirus ini juga merupakan penyebab kepada demam selsema biasa (common cold), ianya dikuatiri mampu memiliki kapasiti tersebut jika diberi masa untuk lebih berevolusi.

Sama juga seperti koronavirus penyebab kepada SARS dan MERS, koronavirus nobel Wuhan ini juga dikenalpasiti mampu menjangkiti melalui transmisi manusia-ke-manusia.

Dalam bidang epidemiologi, terdapat satu cara untuk menentukan kadar berjangkitnya sesuatu virus. 

Pakar ahli epidemiologi menggunakan Angka Asas Reproduksi (Basic Reproduction Number) atau singkatannya RO bagi menentukan kadar kebolehjangkitan sesuatu virus. 

Angka asas reproduksi, R0, ini memiliki julat yang tertentu. 

Jika angka itu melebihi > nilai 1, maka sesuatu jenis jangkitan itu mampu bermandiri dan terus berjangkit.

Sebagai contoh, jangkitan koronavirus penyebab kepada SARS memiliki purata R0 sekitar 2 dan 5. 

Ini bermaksud, satu individu yang dijangkiti koronavirus SARS memiliki kemampuan untuk menjangkiti dua dan lima individu lain.

Contoh virus yang memiliki kebolehjangkitan yang sangat tinggi ialah virus penyebab kepada Campak atau Measles.

Virus ini memiliki R0 sekitar 12 dan 18, iaitu seorang pembawa jangkitan mampu menyebabkan 11 dan 18 orang lagi berjangkit.

Bagi koronavirus nobel Wuhan ini, para saintis berbeza dapatan kerana masih belum memiliki data yang mencukupi, di samping wujud limitasi oleh kerahsiaan pihak kerajaan China dalam mendedahkan jumlah sebenar jangkitan.

 Namun, secara purata, R0 bagi jangkitan koronavirus nobel Wuhan yang dianggarkan oleh pihak WHO ialah sekitar 1.4 dan 2.5.

Manakala, hasil kajian daripada Jonathan Read dari Lancaster University pula menganggarkan angka R0 yang lebih tinggi sekitar 3.6 dan 4.0.

Angka ini dibuat dengan tanggapan bahawa hanya lebih kurang 5% kes sahaja yang berjaya dikenalpasti pada ketika ini, jumlah kes yang sebenar kemungkinan jauh lebih tinggi daripada angka yang dilaporkan. Walaupun angka R0 ini tinggi, ianya tidak melambangkan kadar jangkitan yang sebenar kerana ianya juga bergantung kepada faktor lain seperti cara virus tersebut disebarkan dan juga sekiranya langkah pencegahan dan kuarantin dijalankan dengan baik.

 

Wujudkah ubatan dalam melawan jangkitan koronavirus ini?

Setakat ini, tiada ubatan specifik terhadap jangkitan koronavirus ini. Jika disebut ubatan, ianya merujuk kepada langkah pencegahan (prophylaxis) menggunakan vaksin dan langkah rawatan (therapeutic) menggunakan ubatan antiviral. 

Malangnya, kedua-dua jenis ubatan ini masih tiada bagi koronavirus nobel ini. 

Buat masa ini, pengurusan jangkitan hanya mengkhususkan dalam menghilang simtom-simtom jangkitan. 

Usaha-usaha untuk menghasilkan vaksin oleh beberapa kumpulan kajian daripada beberapa buah negara sedang giat dijalankan.

Polemik penghasilan ubatan (therapeutic) melawan koronavirus

Antara salah satu sebab kenapa ubatan bagi merawat penyakit jangkitan wabak koronavirus ini sukar dihasilkan ialah seperti wabak jangkitan SARS dan MERS, tempoh bergolak wabak ini pada manusia hanyalah sekitar enam bulan. 

Apabila sesuatu ubatan itu telah siap dihasilkan, wabak jangkitan manusia telah berjaya dikawal. 

Maka, untuk membuat percubaan klinikal pada ketika sudah tidak relevan kerana sudah terlambat. Jika ubatan tersebut berjaya melepasi percubaan klinikal sekalipun, ubatan tersebut pada ketika itu mungkin sudah tiada pasaran disebabkan bilangan kes yang kecil dan terpencil. 

Atas faktor ini juga, syarikat-syarikat farmaseutikal kurang berminat dalam menghasilkan ubatan dalam menangani wabak-wabak seperti ini. 

Untuk mengatasi isu ini, beberapa orang saintis kini mula mengambil inisiatif mencari ubatan (antiviral) atau bahan kimia yang memiliki spektrum kebersanan yang luas bukan sahaja terhadap koronavirus tetapi juga terhadap virus-virus lain yang berkaitan.

Dengan usaha ini, diharapkan syarikat-syarikat farmaseutikal memiliki minat untuk turut serta melabur penghasilkan antiviral tersebut. 

Jika berjaya, antiviral ini mungkin akan wujud di pasaran dan sentiasa bersedia untuk digunakan pada masa akan datang sekiranya berlaku lagi wabak jangkitan.

Jika tiada ubat, apa langkah-langkah yang ada?

Konsep dalam menangani wabak koronavirus nobel kini lebih berfokus kepada langkah pencegahan. 

Pencegahan menjadi benteng terakhir dalam proses menangani penyebaran wabak koronavirus nobel ini.

Orang ramai perlu memastikan kebersihan menjadi satu keutamaan dalam setiap keadaan. 

Pastikan tangan sentiasa dibasuh dan elakkan daripada berinteraksi secara langsung dengan mereka yang dijangkiti.

Pemakaian topeng muka terutamanya dari jenis N95 juga merupakan salah satu tindakan yang wajar diambil bagi mengurangkan tahap pendedahan terhadap koronavirus ini.

Sekiranya terdapat simtom-simtom yang berkaitan seperti demam dan diketahui pernah secara langsung berinteraksi dengan mana-mana individu yang dikhuatiri dijangkiti, segeralah mendapatkan rawatan di mana-mana klinik ataupun hospital terdakat bagi membolehkan ujian saringan dilakukan.

Buat masa ini, keadaan di Malaysia masih terkawal walaupun sudah empat orang dikenalpasti membawa jangkitan berkenaan. 

Namun, pihak KKM dan agensinya sedang bertindak dengan baik bagi memastikan wabak ini terkawal di Malaysia. 

Masyarakat Malaysia tidak perlu panik namun perlu memastikan sentiasa mengamalkan langkah-langkah berjaga-jaga dan menjaga tahap kebersihan seperti di atas.

Kuarantin oleh pihak hospital atau KKM adalah tindakan yang paling wajar kerana para pesakit yang dijangkiti akan sentiasa dipantau dari masa ke masa bagi memastikan intervensi segera boleh diambil dan tiada jangkitan kepada individu lain berlaku.

Memandangkan terdapat kebarangkalian koronavirus nobel baru ini mampu tersebar melalui mata, petugas kesihatan benteng hadapan kini telah diwajibkan untuk memakai kaca mata pelindung (safety google) sebagai langkah berjaga-jaga.

Vaksin dan ubatan menjadi suatu keharusan bagi menangani wabak koronavirus nobel. 

Terjadinya wabak seperti ini juga mengingatkan kita akan peri pentingnya Umat Islam dalam memiliki ilmu dan kepakaran dalam setiap bidang.

 Bidang-bidang fardhu kifayah ini perlu kita kuasai, bagi memastikan kita mampu berdiri sendiri dan berdaya saing dalam melakukan kajian dan usaha menangani pelbagai jenis jangkitan yang mungkin akan muncul pada bila-bila masa.

“Setiap penyakit mempunyai penawar, apabila penawar menepati penyakit tersebut, nescaya akan sembuh dengan izin Allah. (Riwayat Muslim)

 Akhir sekali, marilah sama-sama kita berdoa agar dilindungi daripada terkena wabak ini dan kembali bertaubat atas segala dosa-dosa yang telah dilakukan baik yang dilakukan secara senyap mahupun secara terus terang.

Semua tindakan menangani wabak di atas tidak akan memberi sebarang kebaikan yang berterusan sekiranya kita mahupun masyarakat kita masih lagi bergelumang dengan kemaksiatan atau kemungkaran.

Amin Rukaini Bin Mustafa

– PhD in Biotechnology (Molecular Microbiology) (University of Cambridge, UK)MSc. & BSC (hons) in Biotechnology (The University of Edinburgh, UK)

– Ahli ISMA Kangar

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

 

 

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close