Berita UtamaUtama

Koronavirus: Kerajaan perlu cekap tanpa kompromi demi keselamatan rakyat

Di ambang penyebaran, langkah cegah lebih baik banding rawatan

BANGI, 1 Jamadilakhir 1441H, Ahad – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menggesa kerajaan supaya segera bertindak menutup pintu sempadan negara dan menguatkuasakan polisi untuk menghantar pulang semua warga China, sementara pengurusan rawatan wabak koronavirus (2019-nCoV) di Wuhan, selesai.

Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, sehingga kini, Filipina dan Indonesia sudah menguatkuasakan perintah menghantar pulang dan menutup pintu negara masing-masing kepada warganegara China.

Justeru, di ambang penyebaran wabak berbahaya itu, langkah pencegahan adalah lebih utama berbanding rawatan, kata Hazwan.

“Dalam situasi genting ini, pihak kerajaan perlu bertindak pantas dan berani. Pengurusan konflik perlu cekap tanpa kompromi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu lagi kes yang disahkan dijangkiti koronavirus malam tadi, menjadikan jumlah individu disahkan positif 2019-nCoV kepada empat setakat ini.

Kes terbaharu itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak, yang mendesak kerajaan supaya menyekat sementara kemasukan pelancong China ke negara ini sehingga wabak berkenaan pulih.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media semalam berkata, kerajaan tiada rancangan untuk melarang pelancong China memasuki negara.

Buat masa sekarang, kerajaan hanya akan menjalankan saringan ke atas penumpang dan pelancong yang tiba di negara ini, kata Dr Mahathir.

Setakat ini, beberapa negara sudah mempunyai kes koronavirus antaranya Australia, Amerisa Syarikat dan tujuh negara di Asia Pasifik termasuk Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengakui bahawa penyakit pernafasan – yang dikesan berpunca dari bandar Wuhan – adalah keadaan darurat di China, tetapi masih terlalu awal untuk isytihar darurat bagi peringkat global.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close