Berita UtamaDuniaUtama

Angka korban gempa bumi Turki meningkat kepada 29

Erdogan anggap bencana landa Elazig sebagai ujian untuk negara

ANKARA, 1 Jamadilakhir 1441H, Ahad – Angka korban akibat gempa bumi kuat berukuran 6.8 magnitud melanda timur Turki kelmarin meningkat kepada 29 orang, dengan lebih 1,100 yang lain dilaporkan cedera.

Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu berkata, pengesahan awal mendapati 18 orang dilaporkan terbunuh di wilayah Elazig – di mana gempa berpusat pada Jumaat – dan empat di Malatya.

Agensi bencana kebangsaan kemudian mengemas kini laporan dengan jumlah baharu melibatkan tujuh lagi mangsa dicatatkan.

Selain itu, sekurang-kurangnya 40 orang telah diselamatkan dari runtuhan bangunan.

Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca berkata, kira-kira 1,103 orang cedera, dengan 34 daripadanya menerima rawatan rapi tetapi tidak berada dalam keadaan kritikal.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan anggota Kabinetnya tiba di Elazig petang semalam.

Beliau turut menghadiri pengebumian salah seorang mangsa membabitkan seorang wanita dan anaknya yang terkorban akibat gempa itu.

“Kita akan melakukan apa yang perlu. Usaha menyelamat di lokasi gempa juga akan diteruskan,” kata Erdogan yang turut menyifatkan bencana itu sebagai ujian untuk Turki.

Gempa kuat yang berpusat di bandar Sivrice, wilayah Elazig itu mengakibatkan beberapa bangunan runtuh, bahkan gegaran turut dirasai di negara jiran Syria, Lubnan dan Iran.

Kejadian gempa bumi adalah bencana biasa di Turki – kira-kira 17,000 orang terbunuh dalam gempa kuat di bandar Izmit pada tahun 1999.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close