Berita UtamaUtama

Koronavirus: Gantung sementara pengecualian visa pelancong China

Pada tahun 1998, 2003 Malaysia pernah hadapi ancaman seperti ini: Najib

BANGI, 29 Jamadilawal 1441H, Sabtu – Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan kerajaan menggantung sementara pengecualian visa percuma kepada pelancong China untuk satu tempoh munasabah, bagi menangani penularan wabak koronavirus (2019-nCoV) yang berpunca dari negara berkenaan.

Bekas perdana menteri itu berkata, penggantungan berkenaan bagi memastikan kemasukan pelancong China dikawal sepenuhnya dan diperiksa dengan lebih teliti terutama status kesihatan mereka.

Beliau berkata, walaupun sektor pelancongan bakal terjejas jika semua pelancong China disekat ke Malaysia, kerajaan juga perlu mempertimbangkan keselamatan rakyat negara ini.

“Melalui penggantungan visa percuma ini, kita akan dapat pengawalan lebih baik terhadap pelancong yang akan masuk.Tempoh memohon visa ini juga akan menyekat mereka yang baru dijangkiti virus, tetapi masih tidak ada tanda-tanda sakit.

“Kita juga perlu meningkatkan kawalan dan pemeriksaan suhu badan pelancong-pelancong yang masuk ke negara supaya mereka yang sedang sakit atau sedang selsema ditahan untuk diperiksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga dari lapan warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor positif koronavirus, termasuk kanak-kanak berusia 11 dan 2 tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiga kes berkenaan adalah ahli keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura membabitkan lelaki berumur 66 tahun dari Wuhan, China.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media hari ini berkata, kerajaan tiada rancangan untuk melarang pelancong China memasuki negara.

Buat masa sekarang, kerajaan hanya akan menjalankan saringan ke atas penumpang dan pelancong yang tiba di negara ini, kata Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan perlu lebih serius terutama meningkatkan jumlah mesin pengimbas suhu di pintu masuk negara, sama ada udara mahupun darat.

“Pada masa yang sama, pihak berkuasa mesti telus dan cepat untuk memberi perkembangan terbaru tentang wabak ini kerana ramai rakyat bimbang kerana virus ini adalah serius dan boleh meragut nyawa.

“Ini bukan kali pertama Malaysia menghadapi ancaman seperti ini. Pada tahun 1998, kita juga menghadapi Wabak virus Nipah yang berasal dari negara kita sendiri. Pada tahun 2003, kita juga berjaya mengatasi virus SARS yang juga berasal dari negara China,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close