Berita UtamaPendapatUtama

Waytha Moorthy rosakkan imej Malaysia di luar negara

Kenyataan dalam profil babit dakwaan palsu mengenai ajaran Islam

1. SEMALAM saya telah menghadiri satu dialog anjuran Northern Ireland Council for Racial Equality(NICRE) bertempat di bangunan parlimen Northern Ireland, United Kingdom (UK).

Agak menarik ialah Waytha Moorthy Ponnusamy selaku seorang menteri dari Malaysia yang memegang potfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial diberi penghormatan untuk memberi ucapan pembukaan.

2 . YB Moorthy menyampaikan ucapan aluan secara ringkas dan beliau sendiri seolah-olah agak terkejut dan tidak tahu dengan penghormatan yang diberikan ini.

Tidak banyak yang disentuh dalam ucapan beliau yang hanya berlangsung selama lebih kurang lima minit.
Apatah lagi beliau menegaskan bahawa beliau terpaksa meninggalkan majlis pada jam 3.30 petang dan mempunyai masa kurang dari sejam.

Sedangkan majlis sepenuhnya patut berlangsung sehingga jam 4.30 petang.

3 – Setiap hadirin dibekalkan dengan dua lampiran kertas. Satu mengenai tentatif majlis dan satu lagi ialah profil YB Moorthy.

Oleh kerana ucapannya terlalu pendek maka kebanyakan hadirin hanya menggarab maklumat melalui lampiran yang disertakan.

4 – Kebiasaan soal jawab majlis dialog adalah berdasarkan ucapan tetamu yang bercakap.

Malangnya kandungan ucapan beliau seolah-olah tiada. Maka, rujukan untuk bertanya hanyalah melalui maklumat profil yang dilampirkan.

5 – Amat mengejutkan dengan maklumat yang tertera dalam profil seorang menteri dari kerajaan yang memerintah Malaysia hari ini.

Pada perenggan pertama lagi Malaysia digambarkan sebagai negara dengan undang-undang rimba yang tidak bertamadun.

Selebihnya silalah baca sendiri. Saya merasakan ia tetap tidak relevan dengan kedudukan beliau sebagai seorang menteri yang memegang portfolio berkaitan.

6 – Malaysia telah merdeka lebih 63 tahun dan satu pertiga darinya telah dipimpin oleh individu yang sama menjadi Perdana Menteri hari ini.

YB Moorthy seorang menteri dari Jabatan Perdana Menteri dengan berlatarbelakangkan seorang peguam, sepatutnya tahu implikasi profil beliau mengenai pandangan luar terhadap Malaysia.

Pada pandangan saya beliau tidak membawa risalah Jabatan Perdana Menteri yang sepatutnya. Apatah lagi Malaysia.

7. Saya merasakan kerosakan imej telah berlaku terhadap negara Malaysia melalui profil ini.

Pertanyaan lanjut berdasarkan maklumat itu hanya akan membawa kepada kerosakan yang lebih parah.

Saya hadir mewakili komuniti Muslim di sini. Dalam masa yang sama saya juga adalah seorang anak Malaysia.

Serba salah sama ada untuk bertanya penjelasan lanjut atau mengawal kerosakan imej negara Malaysia di mata luar dengan tidak bertanya. Saya memilih yang kedua.

8. Telah menjadi adat dalam sesi dialog bahawa kenyataan rujukan selalunya kembali kepada tetamu yang bercakap.

Apatah lagi beliau adalah seorang menteri dari kerajaan yang memerintah hari ini.

Sedangkan saya sudah berada di sini hampir 20 tahun dan lebih 30 tahun berada di luar Malaysia.

9. Sahabat saya yang turut hadir sebagai penyampai ucapan bagi mewakili komuniti Muslim di sini bertanya kepada saya secara peribadi untuk kepastian.

Betulkah non-Muslim di Malaysia dipaksa untuk memeluk agama Islam?

Ajaran Islam apakah yang Malaysia amalkan dengan memaksa orang untuk memeluk agama Islam?

10. Kenyataan dalam profil itu bukan hanya sekadar membabitkan Malaysia bahkan ia membabitkan dakwaan palsu mengenai ajaran Islam yang merentasi sempadan.

Ia membabitkan dakwaan palsu mengenai ajaran Islam yang mempunyai pengikut sekitar 1.8 billion seluruh dunia.

Juga dalam konteks kami sebagai minoriti di sini. Tiada dalam ajaran Islam untuk memaksa orang memeluk agama Islam.

Laksana Islamophobia dari seorang yang memegang jawatan menteri yang sepatutnya menangani kes seumpama ini.

11. YB Moorthy, anda sepatutnya membawa mesej perdamaian, perpaduan dan kesejahteraan sosial untuk dikongsi oleh dunia luar.

Ia lebih patut dengan amanah dan jawatan yang anda pegang. Sesuai dengan Malaysia yang terkenal sebagai sebuah negara yang berbilang kaum yang hidup harmoni sejak sekian lama.

12. Bangsa-bangsa selain Melayu telah sedia diberikan hak malah dibiayai kerajaan untuk meneruskan pendidikan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Bandingkan jumlah kuil yang ada mengikut ratio penganut Hindu di Malaysia dengan negara-negara sebelah sini. Kebebasan mengamalkan agama masing-masing.

Pelepasan cuti umum bersempena hari kebesaran berbanding sini. Bagaimana sambutan ‘Chinese New Year’ di Malaysia berbanding UK sebagai contoh lain? Dan senarai yang seterusnya…

13. Majlis dialog ini adalah berkaitan ‘hate crime’. Kes Adib adalah natijah dari ‘hate crime’.

Melalui bekalan perkongsian maklumat dari sini harapnya YB Moorthy boleh membela kematian Adib untuk membawa penjenayah yang terlibat kemuka pengadilan.

Demi keluarga beliau yang memerlukan pembelaan, demi penjawat awam yang terkorban semasa menjalankan tugas, demi kedaulatan undang-undang dan demi kesusilaan hubungan antara kaum di Malaysia.

Nabir Osman

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net. Kenyataan ini pertama kali disiarkan dalam Facebook penulis.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close