Berita UtamaDunia

Israel lancar serangan udara berhampiran Damsyik

Ia merupakan serangan kali ke-2 dalam tempoh seminggu

DAMSYIK, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – Jet pejuang negara haram Israel melancarkan serangan udara berhampiran bandar Damsyik lewat malam tadi, untuk kali kedua dalam tempoh masa seminggu, lapor media tempatan Syria.

“Serangan udara rejim Israel menyasarkan kedudukan tertentu berhampiran Damsyik,” lapor agensi berita SANA.

Sementara itu, Sistem Pertahanan Udara Syria melepaskan tembakan ke arah jet rejim Zionis sehingga penduduk yang berdekatan menjadi saksi dan mendengar beberapa letupan berlaku.

Terdahulu, letupan turut berlaku di sempadan Israel, apabila jet tentera udara rejim melancarkan serangan di kawasan berkenaan.

Zionis sehingga kini tidak mengulas serangan khusus yang dilakukan, sebaliknya mengaku melancarkan ratusan serangan udara terhadap kumpulan yang menyokong Iran dan bertapak di negara tersebut.

Serangan udara terbaharu di Syria, yang dikaitkan dengan rejim Zionis berlaku Sabtu lalu dan serangan berkenaan berlaku di siang hari.

Penduduk tempatan berkata, letupan berkenaan dilihat berlaku berhampiran bandar Masyaf, wilayah Hama.

Masyaf digunakan sebagai pangkalan tentera Iran dan beberapa kali menjadi sasaran rejim Israel sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kawasan berkenaan turut menempatkan kemudahan Pusat Kajian dan Penyelidikan Saintifik atau dikenali CERS yang menjadi sasaran Zionis beberapa kali sebelum ini.

Barat telah lama mengaitkan CERS dengan pembuatan senjata kimia. Menurut Amerika Syarikat (AS), gas sarin dibangunkan di pusat berkenaan, bagaimanapun tuduhan itu dinafikan pihak berkuasa Syria.

Awal bulan lepas, tentera pengganas Israel melancarkan serangan udara di Damsyik dan mengorbankan dua pegawai di Iran Revolutionary Guard.

Sejak perang saudara berlaku di Syria 2011, Israel berterusan melakukan serangan udara di negara berkenaan dan menyasarkan tentera Iran dan kumpulan pengganas khususnya di sepanjang sempadan Golan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button