Berita UtamaDuniaUtama

Virus Wuhan: Masih awal nak isytihar keperluan kecemasan

Jepun sahkan kes kedua virus coronavirus babitkan warga China

TOKYO, 28 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Kementerian Kesihatan Jepun hari ini mengesahkan kes kedua coronavirus membabitkan seorang lelaki dari bandar Wuhan, China.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, lelaki berusia 40-an itu adalah penduduk dari bandar China di mana bermulanya wabak berkenaan dan tiba di Jepun pada 19 Januari lalu.

Lelaki itu dilaporkan mengalami gejala demam selama beberapa hari sebelum tiba di negara ini dan keadaannya stabil ketika dia tiba di Jepun.

“Pada 22 Januari lalu, dia dilaporkan demam dan kini sedang menerima rawatan di hospital Tokyo,” kata kementerian itu.

Dalam kenyataan sama, Kementerian Kesihatan menjelaskan lelaki itu menafikan mengunjungi pasar di Wuhan yang dikenal pasti sebagai lokasi bermulanya wabak berkenaan dan berkata, dia telah memakai topeng muka ketika mengembara.

Kes itu disahkan lebih kurang seminggu selepas pihak berkuasa Jepun melaporkan kejadian pertama di negara itu yang telah membunuh 18 orang dan menjangkiti ratusan yang lain.

Wabak itu mendorong China untuk melakukan kuarantin terhadap 20 juta penduduknya tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan penyakit itu belum menjadi kecemasan kesihatan global.

“Jangan salah faham, ia satu kecemasan di China, tetapi bukan di peringkat global buat masa ini.

“Kebanyakan pesakit yang meninggal dunia mempunyai masalah kesihatan lain seperti hipertensi, diabetes atau penyakit kardiovaskular yang melemahkan sistem imun mereka,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Sebelum ini, media melaporkan satu virus baharu daripada kumpulan virus sama yang mencetuskan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), dikesan tersebar di luar sempadan China buat kali pertama dengan satu kes muncul di Thailand, minggu lalu.

Laporan memetik doktor Thailand yang mengesan seorang pelancong China dengan pneumonia ringan, sebelum disahkan berpunca daripada koronavirus baharu yang dikesan di China. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close