Berita Utama

Isu TPM tidak besar hingga bawa perpecahan parti: PAS

Tindakan menghebohkan isu ke arah strategi politik semata-mata

BANGI, 15 Zulhijjah 1443H, Jumaat – PAS tidak melihat isu perbincangan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai besar yang mampu membawa perpecahan dalam kalangan parti.

Sebaliknya menyifatkan tindakan menghebohkan isu berkenaan adalah ke arah strategi politik semata-mata, demikian tegas Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Beliau bagaimanapun mengakui isu jawatan berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan pusat atau Majlis Syura Ulama.

“Perjanjian bagi jawatan TPM mungkin hanya melibatkan beberapa pimpinan parti bersama rakan komponen parti dalam Perikatan Nasional (PN) dalam membentuk kerajaan campuran.

“Ia tidak dihebohkan kerana lebih menjurus isu strategi politik, soal pemimpin membelakangi Presiden dalam membuat perjanjian juga tidak berbangkit kerana pucuk pimpinan atasan semestinya telah dilantik oleh Presiden untuk mewakili PAS berunding dengan gabungan dalam PN.

“Bagi kami dalam PAS ini semua akur apa juga diputuskan Presiden dan pucuk pimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sama ada tindakan beberapa pemimpin PN membuat perjanjian bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti didedahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa pengetahuan Tan Sri Abdul Hadi Awang akan membawa perpecahan dan kekeliruan ahli PAS.

Mahfodz menegaskan, PAS sejak dulu tidak berharap dengan jawatan dan tak pernah meminta-minta jawatan dalam kerajaan sebaliknya membantu mencalonkan pihak daripada parti-parti lain untuk memimpin negara.

Katanya perkara tersebut dibuktikan apabila Abdul Hadi menamakan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Begitu juga seterusnya apabila Presiden BERSATU itu pula hilang sokongan, nama Ismail Sabri pula dicadangkan untuk jawatan berkenaan,” katanya.

Tegas beliau, tindakan berkenaan bagi memastikan kerajaan campuran yang memerintah Putrajaya hari ini kekal berfungsi dan tidak tumbang.

“Jadi tentang perjanjian TPM jika ada pun ia rahsia politik dan tak perlu diheboh. PAS tak akan mencampuri urusan perjawatan kerana kita nak perpaduan ummah dijaga,” katanya.

Perkara ini menjadi kecoh selepas Muhyiddin meminta Abdul Hadi merujuk kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang dikatakan individu bertanggungjawab menggubal draf perjanjian antara bekas Perdana Menteri itu dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menjelaskan perkara itu selepas Abdul Hadi memaklumkan tidak wujud perjanjian sebegitu dalam PN.

Susulan itu, Takiyuddin mengakui membuat draf perjanjian tersebut, namun dalam kapasiti sebagai menteri di jabatan perdana menteri ketika itu, bukan sebagai pemimpin parti.

Malah dalam pendedahan berkenaan, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menyatakan perkara berkenaan bukan perjanjian, sebaliknya dipanggil memorandum perjanjian (MoA).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button