Berita UtamaUtama

Kenakan tindakan terhadap antivaksin!

Kurangkan sebaran fakta salah sehingga takutkan orang ramai

KUALA LUMPUR, 28 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menggesa agar golongan antivaksin yang menyebarkan maklumat salah mengenai suntikan vaksin dikenakan tindakan undang-undang.

Presidennya, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, sekiranya tindakan undang-undang diambil, sudah tentu ia dapat mengurangkan penyebaran fakta salah mengenai aktiviti vaksinasi yang menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

“Saya setuju golongan antivaksin ini didakwa …mereka sering menyebarkan fakta-fakta salah, biasanya di media sosial mengenai keburukan vaksin serta menyalahkan kerajaan (kerana mengadakan Program Imunisasi Kebangsaan atau NIP), ini merupakan hasutan jahat kepada masyarakat.

“Sekiranya Kementerian Kesihatan kata tindakan golongan ini salah dan membahayakan masyarakat (kerana menyebarkan fakta salah mengenai vaksin), polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh lakukan tugas mereka mengikut peruntukan akta terhadap golongan antivaksin,” katanya kepada Bernama selepas majlis Resolusi Perbincangan Meja Bulat Berkaitan Vaksinasi: ‘Wajarkah Imunisasi Kanak-kanak Dijadikan Undang-undang Mandatori’ semalam. 

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai resolusi ke-5 persidangan itu yang mencadangkan kerajaan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang dan dasar sedia ada terhadap golongan antivaksin.

Dalam pada itu, Dr Zainal turut menyarankan kerajaan terutamanya KKM untuk mencipta dan menghasilkan vaksin sendiri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap produk luar negara.

“Sebenarnya kita ada kepakaran itu (menghasilkan produk vaksin sendiri), contohnya kita ada Institut Penyelidikan Perubatan. Sudah tentu ini lebih bagus dan jimat untuk kita hasilkan sendiri di sini,” katanya.

Melalui sidang meja bulat yang disertai 22 pertubuhan bukan kerajaan kesihatan itu, 10 resolusi dikeluarkan, antaranya menggesa kerajaan mewajibkan imunisasi kepada kanak-kanak di seluruh negara melalui undang-undang mandatori yang khusus.

Menurut Dr Zainal resolusi itu akan diserah kepada perdana menteri untuk tindakan susulan oleh pihak kerajaan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close