Berita UtamaDuniaUtama

ICJ arah Myanmar hentikan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya

Pelarian berharap keadilan ahli keluarga dibunuh dapat pembelaan

YANGON, 28 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Warga Rohingya meluahkan rasa bersyukur dan gembira selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berpangkalan di Den Haag mengarahkan Myanmar menghentikan segera pembunuhan beramai-ramai etnik minoriti Islam.

Pelarian Rohingya, Abdur Rahim, 45 tahun, percaya bahawa keadilan akan ditegakkan dengan keputusan ICJ yang memihak kepada mereka. 

“Kami takkan dapat semula orang yang kami sayang selepas dibunuh rejim. Kami juga tak dapat pampasan. 

Tetapi sekurang-kurangnya dunia mengakui bahawa jenayah kejam telah dilakukan terhadap kami,” katanya kepada Al-Jazeera. 

Rahim berharap perintah mahkamah akan memaksa Myanmar untuk ‘menghentikan kekejaman terhadap saudara  yang masih tinggal di Myanmar.

Sementara itu, Mohammad Rasel, 26 tahun, mengimbau kembali memori ketika dia sedang membina jerami di hadapan rumahnya di Daerah Maungdaw, Myanmar, ketika anggota polis tempatan memasuki kampung pada Ogos 2017.

“Mereka serang dengan tembakan dan peluru terkena pada ayah saya. Dia terus jatuh. Darah berlumuran. 

Rejim membunuh ayah saya di depan mata,” katanya yang terus melarikan diri dengan saudara lelaki dan ibunya. 

Semalam, ICJ mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera bagi melindungi etnik Islam Rohingya daripada dianiaya, selain perlu menyimpan bukti jenayah yang dilakukan terhadap mereka.

Dalam perintah yang dipersetujui secara sebulat suara oleh panel 17 hakim, dibacakan oleh Hakim Abdulaqawi Ahmed Yusuf, pengadilan mendakwa Myanmar telah ‘menyebabkan kemusnahan yang tidak dapat diperbaiki terhadap hak-hak Rohingya.’

Pada bulan November, Gambia memfailkan saman terhadap Myanmar mendakwa rejim negara itu melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk minoriti Muslim Rohingya dan melanggar Konvensyen Genocide 1948.

Dalam permohonannya ke mahkamah, Gambia meminta enam langkah sementara yang menghendaki Myanmar bertindak ‘dengan serta-merta’ untuk mengelakkan genosid kumpulan Rohingya berterusan dan mengambil tindakan untuk tidak memusnahkan atau menyebabkan kerosakan kepada apa-apa bukti yang telah dijelaskan dalam permohonan itu.

Gambia juga menggesa kedua-dua pihak untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang mungkin memperburuk pertikaian itu atau menjadikannya lebih sukar untuk diselesaikan.

Gambia kemudiannya juga meminta Myanmar bekerjasama dengan badan-badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berusaha untuk menyiasat perbuatan yang didakwa.

Myanmar perlu memastikan bahawa tenteranya tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai atau cuba melakukan pembunuhan beramai-ramai atau berkomplot untuk melakukan tindakan sedemikian. 

Myanmar juga diperintahkan untuk menghalang pemusnahan bukti dan memastikan pemuliharaan bukti yang berkaitan dengan pembunuhan beramai-ramai.

Lebih 730,000 etnik Rohingya meninggalkan Myanmar selepas operasi ketenteraan pada 2017 dan terpaksa menduduki kem pelarian di Bangladesh, yang disifatkan penyiasat PBB sebagai kempen ketenteraan berniat jahat. 

Di Cox’s Bazar, kem pelarian terbesar dunia dengan lebih sejuta pelarian Rohingya, harapan semakin menggunung agar keputusan memihak kepada mereka selepas melalui penganiayaan selama bertahun-tahun. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close