Berita PilihanDuniaUtama

Genosid: Myanmar diberi 4 bulan ambil langkah pencegahan

Dalam tempoh berkenaan ICJ mahu pastikan Rohingya selamat

ANKARA, 27 Jamadilawal 1441H, Khamis – Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis mengeluarkan satu perintah dalam kes yang membabitkan pertuduhan bahawa Myanmar telah melakukan genosid terhadap minoriti Islam Rohingya di negara itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Ketika mengeluarkan perintah itu dalam kes yang difailkan Gambia bulan lepas, Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf memberikan tempoh empat bulan kepada Myanmar untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan memastikan agar etnik Rohingya di negara itu tidak diapa-apakan.

Yusuf berkata orang Rohingya yang dianiaya adalah ahli kumpulan yang dilindungi di Myanmar di bawah Konvensyen Genosid PBB 1948 sambil menambah bahawa perintah itu bukanlah “pengadilan terlebih dahulu berhubung merit kes sebenar, iaitu sama ada Myanmar bertanggungjawab melakukan genosid.”

Mahkamah itu meminta Myanmar mengambil semua langkah yang terdapat dalam bidang kuasanya bagi mencegah perbuatan “membunuh ahli kumpulan (Rohingya) itu, mendatangkan kecederaan secara fizikal atau mental kepada mereka dan melaksanakan langkah-langkah (bagi menghentikan) cara yang digunakan untuk memusnahkan kumpulan itu.”

“Myanmar hendaklah memastikan bahawa tenteranya atau mana-mana organisasi atau kumpulan tidak teratur yang tertakluk di bawah kawalannya tidak melakukan sebarang perbuatan di bawah perkara pertama, atau perbuatan berkonspirasi untuk melakukan genosid, melakukan genosid atau cuba melakukan genosid atau bersubahat melakukan genosid,” katanya.

Perintah itu juga menyebut bahawa Myanmar hendaklah mengambil langkah yang berkesan untuk “mencegah pemusnahan bukti genosid.”

Myanmar juga dikehendaki menyerahkan laporan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan seperti yang diarah oleh mahkamah PBB itu dalam tempoh empat bulan.

ICJ turut mengarahkan Myanmar agar memberikan salinan laporan itu kepada Gambia bagi membolehkan ia memberikan komennya.

“Susulan laporan pertamanya, yang hendaklah dikemukakan selepas empat bulan daripada tarikh perintah ini dikeluarkan, Myanmar akan mengemukakan satu laporan berkaitan langkah-langkah yang diambilnya selepas setiap enam bulan,” katanya.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close