Berita PilihanBerita UtamaUtama

Empat kes disyaki koronavirus di Malaysia dikesan

Sampel kes dihantar ke IMR jalani ujian pengesanan, pengesahan

BANGI, 27 Jamadilawal 1441H, Khamis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan empat kes disyaki dijangkiti koronavirus (NCoV) dikesan di negara ini.

Ia selepas pihak Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Kesemua suspek dimasukkan ke wad pengasingan bagi membolehkan rawatan dan penyiasatan lanjut dijalankan.

Ujian makmal ke atas sampel milik tiga orang pesakit pertama bagaimanapun didapati negatif bagi jangkitan n-CoV, manakala seorang lagi mangsa dilaporkan di Sabah dan telah dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di negeri itu pada Rabu.

Bagi baki satu lagi kes disyaki 2019-nCoV yang dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di Sabah semalam (Rabu), beliau berada dalam keadaan stabil.

“Sampel bagi kes itu telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan. Keputusan ujian bakal diperolehi dalam masa terdekat,” katanya seperti dipetik Astro Awani, hari ini.

2019-nCoV mula tersebar di Wuhan sejak awal bulan ini apabila beberapa individu memiliki simptom seperti pneumonia, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan ia adalah wabak koronavirus yang baharu.

Beberapa kes di luar Wuhan mula dikesan kemudian, termasuk di Beijing, Shanghai dan Guangdong, selain Thailand, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat. Pihak berkuasa China mengesahkan 571 kes dan 17 kematian dicatatkan setakat semalam (Rabu).

Sebuah pasar makanan laut dan haiwan eksotik di Wuhan dipercayai menjadi punca wabak itu, manakala beberapa media antarabangsa melaporkan ia berkemungkinan tersebar kepada manusia daripada ular, yang turut dijual di pasar berkenaan.

Mengulas langkah siap siaga dilaksanakan Kementerian Kesihatan selaras saranan WHO, Dr Noor Hisham memaklumkan, aktiviti saringan di pintu masuk antarabangsa kini diperkukuh dan individu disyaki akan dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.

Jelasnya, saringan pesakit di klinik kesihatan dan hospital turut diperkukuh, manakala tatacara pengurusan kes disyaki wabak 2019-NCoV membabitkan fasiliti kesihatan dan swasta turut dikeluarkan.

Sementara itu, beliau turut menyarankan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Wuhan, China bagi mencegah penularan wabak 2019-NCoV, namun jika terpaksa, mereka perlu mengelak mengunjungi tempat tumpuan umum atau bergaul rapat dengan individu yang memiliki gejala wabak berkenaan.

Jelasnya, mereka juga perlu mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, selain membawa penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu.

“Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan daripada melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan serta mengelak memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

“Mereka juga perlu segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun sukar bernafas, dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan itu.

“Maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat,” jelasnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close