AgamaDr Ahmad Sanusi AzmiUtama

Dosa Memberikan Kesan Pada Wajah

1. RASULULLAH ﷺ mendidik para pemuda agar membenci maksiat. Perkara ini benar-benar meresap ke dalam jiwa para sahabat sehingga mereka merasakan maksiat bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan. Kata Saidina Abdullah ibn Mas’ud:

إن المؤمنَ يرى ذنوبه كأنه قاعد تحت جبلٍ يخاف أن يقع عليه، وإن الفاجرَ يرى ذنوبه كذُبابٍ مر على أنفه، فقال به هكذا

“Orang mukmin akan melihat dosanya seumpama bukit yang akan menghempap diri mereka sedangkan orang yang fajir (pelaku maksiat) itu melihat dosa mereka seumpama lalat yang hinggap dihidup mereka sahaja, lalu ditepisnya.”

2. Bahkan sebahagian sahabat merasakan bahawa perlakuan dosa mampu memberikan kesan kepada wajah seorang Muslim. Saidina Abu Darda pernah berpesan bahawa dosa yang dilakukan oleh manusia boleh dirasai oleh hati orang-orang yang beriman sehingga mereka tidak gemar melihat wajah pendosa. Kata Abu Darda’:

ليتق أحدكم أن تلعنه قلوب المؤمنين وهو لا يشعر ، يخلو بمعاصي الله ، فيلقي الله له البغض في قلوب المؤمنين

“Takutlah kamu dari dilaknat oleh jiwa-jiwa orang yang beriman dalam keadaan kamu tidak sedari. Mereka yang melakukan maksiat dalam keadaan bersembunyi ini, Allah akan mencampakkan rasa benci jiwa yang beriman terhadapnya.”

3. Dalam kenyataan ini, Saidina Abu Darda seolah ingin menyedarkan kita bahawa dosa yang kita lakukan akan memberikan kesan kepada jiwa mukmin, sehingga mereka berasa tidak selesa, atau marah dengan kita.

4. Dengan sebab itu, Ibn Rajab menukilkan kata-kata salafusoleh yang menyatakan bahawa dosa dan maksiat yang kita lakukan boleh memberikan bekas kepada wajah kita. Ia direkodkan oleh Ibn Rajab yang menyebutkan:

إن العبد ليذنب الذنب فيما بينه وبين الله ، ثم يجيء إلى إخوانه ، فيرون أثر ذلك عليه

“Sesungguhnya seorang hamba itu, ketika mana dia melakukan maksiat seorang diri (yang hanya Allah mengetahuinya) lalu dia datang kepada sahabat-sahabatnya, maka mereka (sahabat tersebut) boleh melihat kesan maksiat tersebut pada dirinya.

5. Atas sebab itu, Rasulullah ﷺ ada berpesan kepada Saidatina Aisyah bahawa ada manusia yang ditinggalkan kerana manusia takut dengan kejahatannya. Sabda Baginda:

يَا عَائِشَةُ إِنَّ شَرَّ النَّاسِ مَنْزِلَةً عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ وَدَعَهُ أَوْ تَرَكَهُ النَّاسُ اتِّقَاءَ فُحْشِهِ

“Wahai Aisyah, sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari akhirat nanti adalah mereka yang ditinggalkan oleh manusia kerana kejahatan yang mereka lakukan (samada kata-kata atau perbuatan mereka).”

6. Ada di kalangan kita yang manusia merasa bahagia dengan kehadiran mereka. Ada dikalangan kita juga yang dibenci dengan kewujudan mereka dan kejahatan yang mereka lakukan.

Tidak kira samada kejahatan terhadap manusia atau terhadap Islam itu sendiri.

Semoga Allah memelihara dan menjauhkan kita dari dosa. Semoga Allah menjadikan kita hamba yang soleh disisiNya.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close