Berita UtamaUtama

Pakaian sukan patuh syariah langkah bertamadun jaga maruah atlet

Perjuangan hak asasi sebenar, pelihara kehormatan wanita

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 26 Jamadilawal 1441H, Rabu – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyambut baik usaha kerajaan negeri Pahang untuk membudayakan pemakaian sukan patuh syariah dalam kalangan atletnya, yang sebelum ini juga dilaksnakan kerajaan negeri Terengganu. 

Menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif itu, Ketua Wanita ISMA, Ustazah Dr Suriani Sudi berkata, langkah itu dilihat sebagai progresif dan bertamadun dalam menjaga maruah rakyatnya, terutama atlet wanita. 

“Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia sememangnya patut menyerlahkan identiti Islam di kalangan rakyatnya. 

“Sememangnya, ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kehormatan rakyatnya, baik yang lelaki mahupun perempuan, menerusi pemeliharaan aurat dan pakaian patuh syariat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, Dr Suriani yang juga pakar hadis berkata, dengan pelaksanaan pakaian sukan patuh syariah, ia boleh mengelakkan daripada objektifikasi atlet sukan wanita seperti mana yang berlaku di Amerika Syarikat (AS), di mana atlet-atlet sukan ditawar untuk menjadi model majalah Playboy yang terkenal dengan kejijikannya. 

Pada masa sama, inisiatif ini juga menjaga maruah atlet kerana kejayaan mereka akan tertumpu sepenuhnya kepada kebolehan dalam acara sukan, bukan kerana rupa mahupun aurat yang terdedah. 

“Pakaian patuh syariah bukanlah penghalang bagi seorang atlet wanita untuk berjaya dalam bidang sukan masing-masing. 

“Malah kehebatan atlet tidak terletak pada pendek dan ketatnya pakaian sebaliknya kepada latihan, disiplin dan semangat kesukanan. 

“Sukan yang lasak akan membolehkan atletnya fokus kepada mengumpul mata dan menang, berbanding kerisauan terhadap baju sukan yang kecil dan mendedahkan aurat yang tidak sepatutnya. 

“Ia juga memberi peluang kepada ramai lagi rakyat berpotensi, yang selama ini memilih untuk tidak menjadi atlet kerana tidak sanggup mendedahkan aurat kerana perlu mematuhi syarat pakaian baju sukan yang tidak patuh syariah,” katanya.

Dr Suriani menegaskan, usaha ini perlu disokong dan didukung oleh semua badan bukan kerajaan (NGO) hak asasi, terutama pejuang hak asasi wanita. 

“Inilah hak asasi yang sebenarnya patut diperjuangkan iaitu hak asasi yang menjaga dan memelihara maruah serta kedudukan wanita. 

“Hasil kajian, metod perlaksanaannya dan kejayaan-kejayaan perlu didokumentasikan dan diwacanakan di seluruh negara agar ia dapat dijadikan contoh ikutan di negeri-negeri lain,” katanya.

Terdahulu, kerajaan Pahang dilaporkan sedang bergerak ke arah pelaksanaan pemakaian patuh syariah dalam kalangan atlet beragama Islam sebagai usaha memartabatkan syiar Islam di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu diserahkan kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad untuk dibincang dan diperhalusi sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close